Hamzah beri giliran suntik vaksin Covid-19 kepada petugas KKM

HAMZAH
HAMZAH
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin yang tersenarai untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 hari ini, memutuskan untuk memberi giliran vaksinasi itu kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

“Oleh kerana saya baru sahaja keluar dari hospital kerana jangkitan Covid-19, saya telah ada antibodi... saya tidak perlu ambil vaksin," katanya kepada Bernama selepas meninjau proses vaksinasi pengurusan tertinggi pasukan keselamatan di bawah Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Antara yang mengambil suntikan vaksin itu ialah Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Hamzah memberikan giliran pengambilan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech itu kepada Pegawai Pendidikan Kesihatan KKM Muhammad Ridzwan Zakaria.

“Saya telah pilih petugas barisan hadapan KKM untuk gantikan saya. Saya rasa biarkan petugas barisan hadapan dahulu kerana jika ambil vaksin, ia hanya akan tingkatkan antibodi saya,” katanya.

Penerima vaksin itu, Muhammad Ridzwan berkata, beliau tidak menyangka akan menerima giliran suntikan vaksin Covid-19 daripada Hamzah.

“Memang terkejut apabila dipilih oleh menteri sendiri untuk terima suntikan. Sepanjang proses vaksinasi itu, menteri (Hamzah) saksikan dan berada di sebelah saya,” katanya yang telah lapan tahun bertugas di KKM. - Bernama

Artikel Berkaitan: