X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 25 Oktober 2021

De Paula pemain naturalisasi ketiga Harimau Malaya

Guilherme De Paula diumumkan secara rasmi sebagai pemain tempatan Perak FC. FOTO: FB PERAK FC
A
A

SELEPAS lebih setahun menanti, penyerang Perak FC, Guilherme De Paula akhirnya disahkan sebagai pemain ketiga naturalisasi skuad Harimau Malaya.

Perkembangan terbaharu berhubung perkara itu diumumkan laman Facebook rasmi Perak FC sebentar tadi selepas mereka menjelaskan De Paula akan didaftarkan sebagai pemain tempatan bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Dengan status baharu dipegang De Paula itu menyaksikan Perak FC memiliki dua lagi kekosongan pemain import yang boleh diisi pada jendela perpindahan kedua nanti yang mana salah satu seorangnya melibatkan kuota Asia.

Sebagai rekod, De Paula yang turut terkenal dengan panggilan ‘Wak Doyok’ dalam kalangan peminat bola sepak tempatan mula beraksi dalam saingan Liga-M pada musim 2015 apabila menyarung jersi Selangor.

Dalam musim pertamanya bersama Selangor, pemain kelahiran Brazil berusia 34 tahun itu menjadi antara tonggak The Red Giants merangkul kejuaraan Piala Malaysia sebelum dia membuat keputusan untuk berhijrah ke Cyprus.

Tidak sampai semusim, De Paula kembali ke Malaysia apabila menyarung jersi PDRM FA sebelum dia beralih menyertai Kuala Lumpur mulai musim 2017 hingga 2019.

Ketika mewakili Kuala Lumpur, De Paula memegang rekod selaku penjaring terbanyak The Hawks dalam kempen Liga Super apabila merekodkan 21 gol - berkelebihan sembilan gol mengatasi penyerang veteran, Indra Putra Mahayuddin.

De Paula yang kini mengikut jejak langkah dua pemain naturalisasi Harimau Malaya - Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi mula menyertai Perak musim lalu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!