X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD di Felda Ulu Jempol, Felda Jengka 1, 2, 7 mulai esok

Ismail Sabri
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Felda Jengka 1, 2, dan 7 di Jengka serta Felda Ulu Jempol di Maran, Pahang bermula esok sehingga 15 Mac.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan pengesanan awal dan pengasingan kes Covid-19 bagi memastikan penduduk berisiko dijangkiti wabak di lokaliti itu, kekal berada di dalam kawasan PKPD.

“Sehingga kini sebanyak 46 kes positif Covid-19 telah direkodkan yang melibatkan kluster di lokaliti itu,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan PKP, hari ini.

Sementara itu, kerajaan turut menguatkuasakan PKP di daerah Nabawan, Sabah bermula Rabu ini sehingga 16 Mac susulan peningkatan kes mendadak yang melibatkan kluster di daerah ini dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

Beliau berkata, berdasarkan laporan situasi Covid-19 KKM secara kumulatif sebanyak 177 kes positif dilaporkan melibatkan 15 buah kampung di daerah itu setakat semalam.

Ismail turut mengumumkan penamatan PKPD di Penjara Sungai Udang dan kuarters kakitangannya di Melaka Tengah, Melaka serta PKPD di Kampung Sungai Maong, Kuching dan Taman Univista, Kota Samarahan di Sarawak mulai esok, seperti yang dijadualkan.

Bagi Penjara Sungai Udang dan kuarters kakitangannya, sebanyak 1,701 ujian saringan dilaksanakan dengan 388 kes positif direkodkan.

“KKM mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan serta tiada lagi penularan kes dalam kalangan tahanan dan kakitangannya.

“Di Kampung Sungai Maong pula, sebanyak 427 ujian saringan dijalankan dengan 40 kes telah direkodkan dan kes terakhir yang dilaporkan adalah pada 23 Feb serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata di Taman Univista pula sebanyak 700 ujian saringan dibuat dengan 57 kes telah direkodkan.

KKM mengesahkan baki kes aktif di lokaliti itu menunjukkan trend penurunan dengan kes terakhir dilaporkan adalah pada 23 Feb iaitu sebanyak 4 kes positif, katanya.

Mengenai Task Force Operasi Pematuhan PKP, beliau berkata 611 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dengan 584 daripadanya dikompaun manakala 27 lagi direman, semalam.

“Antara kesalahan yang direkodkan tiada penjarakan fizikal seramai 169 inidvidu, gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (122), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (91), tidak memakai pelitup muka (90), aktiviti sukan (40), aktiviti pusat hiburan (32), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (30), keluar rumah tanpa alasan munasabah (25) dan lain-lain kesalahan (12),

“Bagi Op Benteng, 47 pendatang tanpa izin ditangkap selain sebuah buah bot/kapal dan lapan kenderaan darat dirampas semalam,” katanya.

- Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!