X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: 1,828 kes baharu, 5 kematian

Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kes baharu Covid-19 yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam di negara ini menurun kepada 1,828 kes berbanding 2,437 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu berkenaan menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 dalam negara kini adalah 302,580 kes dan daripada jumlah kes baharu hari ini, 1,821 kes merupakan penularan dalam negara manakala tujuh kes import.

"Kes sembuh harian pula adalah 2,486 kes, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh setakat hari ini sebanyak 275,903 kes," katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 pada Isnin.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 198 kes pula dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 90 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Johor mencatat kes baharu tertinggi iaitu 490 diikuti Selangor (453), Sarawak (220), Negeri Sembilan (167) dan Perak dengan 144 kes.

Dr Noor Hisham berkata, pada Isnin lima kematian dicatatkan melibatkan warga tempatan yang kesemuanya mempunyai penyakit kronik berumur dalam lingkungan 32 hingga 81 tahun, menjadikan jumlah kumulatif maut akibat pandemik itu kini 1,135 orang.

Sementara itu, beliau berkata, tujuh kluster baharu dikesan pada Isnin dengan lima daripadanya membabitkan penularan di tempat kerja manakala satu penularan dalam komuniti dan satu kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi.

"Lima kluster di tempat kerja direkodkan di Kampung Sungai Burung (Johor), Jalan Wawasan 12 (Johor), Jalan Kempas Tiga (Johor), Jalan Melati (Selangor) dan Desa Empat (Selangor).

Kluster penularan dalam komuniti pula direkodkan di Bukit Marak (Kelantan) dan Jalan Cempedak (Kuala Lumpur) pula bagi kluster kumpulan berisiko tinggi," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster kini ialah 1,145 dengan 488 kluster aktif.

Katanya, jumlah kluster yang tamat adalah 657 termasuk 10 kluster diisytiharkan tamat hari ini, iaitu Kluster Pasir Barat; Kluster Sri Suria; Kluster Nilam Tiga; Kluster Persiaran Sabak; Kluster Tembok Kemus; Kluster Intan Delima: Kluster Pengerang Utara; Kluster Sungai Purun; Kluster Lapangan Siber dan Kluster Bedayan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!