Jabatan Kesihatan Melaka putuskan siapa terima vaksin

x-default
x-default
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka hari ini menyangkal dakwaan bahawa lebih 100 konco ahli politik negeri itu telah disenaraikan sebagai penerima vaksin fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Melaka sehingga memotong giliran petugas barisan hadapan.

Sebaliknya kata Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman, senarai individu yang layak ditentukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka tanpa campur tangan mana-mana pihak.

"Pada 2 Mac 2021 akan berlangsung Majlis Pelancaran Program Imunisasi Vaksin Covid-19 Peringkat Negeri Melaka yang akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dengan beliau akan menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech.

"Program suntikan ini akan diikuti oleh semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen serta petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan dan lain-lain," katanya dalam kenyataan di sini.

Rahmad berkata, semua penerima vaksin bagi fasa pertama berkenaan merupakan golongan yang termasuk dalam definisi petugas barisan hadapan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan mereka akan diberi suntikan dalam tempoh sembilan minggu bermula 2 Mac hingga 30 April.

"Mereka akan menerima tarikh dan masa janji temu melalui aplikasi MySejahtera. Ini bermaksud bahawa mereka yang belum terima janji temu bukan kerana tidak disenaraikan sebagai penerima vaksin tetapi masih belum menerima tarikh janji temu.

"Oleh itu mereka semua perlu bersabar dan mereka akan diberi janji temu dalam tempoh beberapa hari sebelum hari suntikan bergantung pada penjadualan bekalan vaksin yang diterima oleh Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan diagihkan ke semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV)," katanya.

Beliau turut menyeru agar rakyat tidak mudah percaya dengan sebarang berita tidak benar memandangkan kerajaan negeri amat prihatin kepada semua rakyat dan akan berusaha memastikan semua yang layak menerima vaksin Covid-19 mengikut fasa yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Rahmad mengulas dakwaan menerusi media sosial bahawa lebih 100 konco-konco ahli politik Melaka telah dimasukkan dalam senarai untuk menerima vaksin pada 2 Mac. - Bernama