Satu unit khas untuk OKU

Ahmad Faizal (dua, kanan) ketika meninjau keadaan kediaman PPR Seri Iskandar.
A
A

SERI ISKANDAR - Sebuah rumah khas untuk golongan kurang upaya (OKU) telah diperuntukkan dalam pembangunan Program Perumahan Rakyat (PPR) dibawah skim Rumah Perakku di Seri Iskandar.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, daripada 99 unit rumah dibina, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberi kelulusan satu unit berkenaan dibina dengan sedikit perbezaan.

Menurutnya, rumah khas OKU terbabit dilengkapi kemudahan pintu gelongsor sebagai dua pintu utama sementara bilik air pula disediakan bar pemegang bagi kemudahan mereka.

"Kita berterima kasih atas jasa baik kementerian yang memperuntukkan sebuah rumah khas di sini. Demi memenuhi permintaan semua rakyat, kerajaan tidak lupa kepada golongan OKU," katanya ketika berucap merasmikan majlis penyerahan kunci Rumah Perakku PPR Seri Iskandar, semalam.

Beliau berkata, selain kemudahan OKU, projek PPR Seri Iskandar dibangunkan Syarikat Pembinaan Hua Yang Sdn Bhd turut dilengkapi dewan komuniti, surau, gerai makan, ruang niaga, tadika, taman permainan, kawasan lapang serta rumah sampah.

Katanya, meskipun kos pembangunan bagi seunit rumah itu bernilai RM158,000, tetapi ia dijual pada harga RM35,000 kepada pemohon yang belum memiliki rumah dan mempunyai pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.

"Kita perlu mengakui hakikat bahawa pemaju swasta tidak akan berani atau lebih tepat lagi tidak akan mampu memberi subsidi sebesar ini kerana perlu mengambil kira faktor kos dan margin keuntungan perniagaan.

"Tetapi inilah contoh keadilan sosial yang diperjuangkan kerajaan PH baik di peringkat Pusat mahupun negeri. Inisiatif kementerian dan kerajaan negeri menjadikan mereka yang berpendapatan rendah juga mampu memenuhi impian memiliki rumah sendiri," katanya.

Binaan yang siap sepenuhnya April tahun lalu itu berkeluasan 700kps dengan tiga bilik tidur, dua bilik air, dapur dan ruang tamu, namun saiz lot sebenar adalah 1,540kps.