Hari pertama persekolahan berjalan lancar

Mohamad Noor berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP pada hari pertama sesi persekolahan ketika pemantauan sepanjang lawatan beliau ke SK Sultan Abdullah pada Isnin.
Mohamad Noor berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP pada hari pertama sesi persekolahan ketika pemantauan sepanjang lawatan beliau ke SK Sultan Abdullah pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Polis Kuantan melakukan tinjauan dan pemantauan di kawasan sekolah pada hari pertama sesi persekolahan di daerah ini bagi memastikan normal baharu yang ditetapkan dipatuhi semua pihak.

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pemantauan dijalankan melibatkan kawasan pintu pagar utama, kelas Tahun Satu dan pra sekolah serta kawasan kantin.

Menurutnya, sepanjang tempoh pemantauan, beliau berpuas hati dengan persiapan pihak sekolah yang menyediakan segala keperluan normal baharu untuk diamalkan murid dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mencegah rantaian pandemik Covid-19 ketika ini.

"Pihak sekolah memang telah bersedia manakala ibu bapa juga sangat prihatin dalam memastikan anak-anak mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Secara keseluruhannya pematuhan SOP pada hari pertama ini berada pada tahap terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan sempena Program Pemaufakatan Kementerian Pendidikan (KPM) bersama Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)-Hari Pertama Persekolahan Daerah Kuantan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abdullah di sini pada Isnin.

Mohamad Noor berkata, pematuhan SOP pada tahap terbaik itu perlu dikekalkan sepanjang masa ketika sesi persekolahan.

"Ibu bapa perlu sentiasa mendidik anak-anak supaya sentiasa mematuhi SOP ketika berada di sekolah.

Artikel Berkaitan:

"Sentiasa ingatkan anak-anak agar tidak berkumpul dan bersesak-sesak selepas habis kelas," katanya.

Tambah beliau, ibu bapa juga perlu patuh SOP dan tidak bersesak semasa mengambil anak pulang dari sekolah.

"Murid tidak digalakkan membeli makanan dan minuman di luar pagar sekolah bagi mengelak keadaan yang tidak terkawal," katanya.