X

Kindly register in order to view this article
!

Maskot sambut murid SK (Perempuan) Sultan Ibrahim

Murid Tahun Satu dan Tahun Dua teruja memulakan persekolahan mereka walaupun perlu mematuhi SOP.
A
A

JOHOR BAHRU - Kemunculan maskot Pinkfong bagi menyambut kehadiran murid Tahun Satu dan Tahun Dua serta prasekolah menggamit suasana ceria hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan (Perempuan) Sultan Ibrahim di sini.

Kedatangan mereka dengan pelbagai keletah disambut maskot dan guru-guru di perkarangan sekolah.

Tinjauan Sinar Harian di sekolah tersebut mendapati ibu bapa mula menghantar anak-anak seawal jam 6.30 pagi dengan semuanya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Seramai 25 murid prasekolah, 158 murid Tahun Satu dan 156 murid Tahun Dua memulakan sesi persekolahan mereka pada Isnin.

Seorang bapa, Dr Mohammed Izuan Zabid, 43, anak kembar perempuannya amat teruja untuk bersekolah dan mengenakan pakaian seragam buat pertama kali.

Katanya, persiapan persekolahan buat Nur Suraya dan Nur Sarah masing-masing berusia tujuh tahun menjadi lebih mudah dengan bantuan cikgu sekolah yang sentiasa mengemas kini maklumat tentang apa yang perlu disediakan pada hari pertama.

"Anak-anak cukup teruja setelah dapat tahu mereka dapat mula bersekolah pada hari ini. Segala persiapan telah dibuat sejak awal lagi, cuma pakaian sekolah dibeli saat akhir sehingga keputusan muktamad sekolah kembali dibuka.

"Sebagai ibu bapa, kami bimbang keadaan mereka ketika pandemik ini. Kami sudah membekalkan mereka dengan cecair nyah kuman dan pelitup muka selain berharap cikgu dapat membantu mereka dalam kawasan sekolah," katanya ketika ditemui.

Bagi M Nithiyah, 32, anak sulungnya yang memasuki Darjah Satu, P Thivyasree kelihatan gemuruh apabila terpaksa bersendirian melangkah ke kawasan sekolah tanpa diiringi ibu bapa.

"Dia nampak gelisah, jadi saya berharap dia dapat menyesuaikan diri dengan rakan-rakan serta cikgu di sekolah. Saya juga sudah mengingatkannya untuk menjaga keselamatan diri di sekolah dan hingga tamat sesi pembelajaran," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti dan Swasta Johor, Datuk Yahya Jaafar berkata, ibu bapa tidak perlu khuatir untuk menghantar anak mereka ke sekolah dan memberi keyakinan kepada guru dalam memastikan sesi pembelajaran mematuhi SOP ditetapkan.

"Kita sudah melalui fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ibu bapa tidak perlu risau sebagai langkah persediaan anak-anak dihantar ke sekolah, rata-rata pihak sekolah bertanggungjawab.

"Pihak sekolah juga memberi kelonggaran antaranya boleh menghantar anak ke sekolah sehingga jam 8.30 pagi, selain memakai pakaian apa sahaja," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!