Dua penyeludup kambing didenda RM10,000

Kedua-dua tertuduh (kanan dan dua dari kanan) didenda RM10,000 kerana menyeludup kambing.
Kedua-dua tertuduh (kanan dan dua dari kanan) didenda RM10,000 kerana menyeludup kambing.
A
A
A

SETIU - Dua penyeludup kambing masing-masing didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Setiu, di sini pada Isnin kerana menyeludup 111 ekor kambing Boer bernilai RM111,000.

Keputusan itu dibuat Majistret Raja Norshuziana Shakila Raja Mamat setelah kedua-dua tertuduh iaitu Muhammad Nor Syuhadan Mohamad Nor, 25, dan Mohd Syamsul Fadlihisyam Ab Azid, 37, mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadap mereka dibacakan.

Selain itu, mereka turut berdepan hukuman penjara sembilan bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Kambing-kambing yang diseludup dari Golok, Thailand.
Kambing-kambing yang diseludup dari Golok, Thailand.

Mahkamah juga memerintahkan kesemua 111 ekor kambing Boer itu dilucutkan hak dan wang hasil jualan ternakan bernilai RM30,946 menjadi hasil kerajaan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati telah memindahkan 111 ekor kambing Boer dengan menggunakan lori jenis Isuzu, tanpa memiliki Peraturan Kebenaran Pindah dan Perakuan Kesihatan Veterinar daripada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu atau pegawai yang diberi kuasa olehnya.

Kesalahan itu dilakukan pada pada jam 4.46 petang, 26 Ogos tahun lalu di tepi jalan, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Permaisuri yang merupakan kawasan diwartakan sebagai kawasan kawalan penyakit kuku dan mulut dan penyakit hawar berdarah.

Kedua-dua tertuduh didapati telah melakukan kesalahan di bawah Para (i)(b) Perintah Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Subseksyen 36 (7) Akta Binatang 2013 (Akta A1452) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Mohd Shahihan Mohd Tahar.

Berdasarkan fakta kes, kesemua ternakan itu dibawa dari Golok, Thailand menggunakan perahu sebelum dipindahkan ke dalam lori.

Kedua-dua lelaki berkenaan ditahan di Permaisuri, Setiu ketika dalam perjalanan menghantar haiwan itu ke Kuala Berang, Hulu Terengganu.