Kerajaan negeri, NCER digesa percepat kelulusan tanah

Mahdzir menerima suntikan vaksin Covid-19 di Majlis Daerah Padang Terap di sini pada Isnin.
Mahdzir menerima suntikan vaksin Covid-19 di Majlis Daerah Padang Terap di sini pada Isnin.
A
A
A

PADANG TERAP - Kerajaan negeri Kedah dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) digesa mempercepatkan kelulusan tanah untuk pembinaan laluan bekalan elektrik dan loji bekalan air bagi projek Kedah Rubber City (KRC) di sini.

Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, walaupun kerja-kerja penyediaan infrastruktur sedang berjalan di tapak projek berkenaan namun proses menyalurkan dua utiliti itu masih tertangguh sejak zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, kemudahan di situ masih perlu ditingkatkan dari segi bekalan elektrik dan loji bekalan air di Padang Sanai.

"Saya sebagai ahli Parlimen berharap kerajaan negeri dan NCER dapat mempercepatkan kelulusan untuk pengambilan tanah bagi menyiapkan laluan bekalan elektrik dan loji bekalan air," katanya selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Majlis Daerah Padang Terap di sini pada Isnin.

Turut menerima suntikan vaksin berkenaan ialah Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Md Shuhaime Abdul Rahman bersama 10 lagi petugas barisan hadapan di daerah itu.

Mahdzir yang juga Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, pihaknya sudah bersiap sedia untuk melaksanakan projek kemudahan elektrik 132 KV di situ.

Katanya, projek bekalan elektrik itu akan bermula dari Tanjung Pauh, Jitra ke Kuala Nerang dan dari Kuala Nerang ke KRC di Padang Sanai.

"Saya difahamkan pengambilan tanah fasa pertama sudah dilakukan dan sekarang ini sedang dibangunkan infrastruktur di sana.

"Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap sudah ambil tindakan sepatutnya, saya ingat kita tak ada masalah apa-apa lagi, saya jangka paling awal kemudahan elektrik ini boleh siap adalah pada awal 2022," katanya.

Infrastruktur KRC adalah di bawah kelolaan kerajaan negeri dan NCER, tambahnya.

Pada Januari lalu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, KRC menarik pelaburan berpotensi lebih daripada RM2.1 bilion yang mampu mengahsilkan lebih 5,000 peluang pekerjaan.

Menurutnya, pemain industri getah tempatan telah memberi komitmen untuk menjadi sebahagian daripada KRC apabila ia mula beroperasi pada suku kedua tahun 2022.

Artikel Berkaitan:

Katanya, projek berimpak tinggi di Padang Terap itu memiliki potensi besar seiring dengan peningkatan permintaan dunia terhadap produk getah.