Ahli PKR 'khianat', keluar parti akan dihadap ke mahkamah

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

KULIM - Tindakan perundangan terhadap wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang keluar dan mengkhianati parti kini sedang dilakukan dan menunggu proses seterusnya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, notis berhubung tindakan itu sudah dihantar kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu berkata, parti itu kini menunggu tindakan lanjut sebelum perkara itu dibawa ke mahkamah.

"Tindakan berkenaan melibatkan kes sebelum ini iaitu anggota PKR keluar atau dipecat parti telah menghantar notis sesuai dengan perjanjian yang mereka tandatangan.

"Mereka kena jawab, kemudian diteruskan dengan pengurusan kes dan mahkamah tetapkan tarikh, Itu semua sedang berjalan," katanya menjelaskan tindakan terhadap wakil PKR yang keluar dan mengkhianati parti.

Beliau berkata, kes terbaru melibatkan Ahli Parlimen Tebrau sahaja kerana Julau sebelum ini menganggotai Bebas dan kemudian PKR.

"Ahli Parlimen Julau masa bertanding dulu dia Bebas, kemudian sertai PKR, jadi dia tidak tertakluk kepada satu perjanjian yang terikat dengan perjanjian parti ialah Tebrau," katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Tebrau, Stephen Choong dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien mengumumkan mereka keluar PKR dan menyokong Perikatan Nasional.

Dalam perkembangan berlainan, Saifuddin berkata, beliau berpuas hati dengan kemasukan keahlian baharu terutama di kawasan yang 'dikhianati'.

Artikel Berkaitan:

"Agak menarik, permohonan ahli baharu yang paling ramai antaranya di Ampang dan Gombak, maknanya bila terkeluar 'orang macam ni' lebih ramai orang lain masuk. Semalam, ketika mesyuarat MPP saya dimaklumkan permohonan baharu dalam seminggu sebanyak 3,500 orang.

"Apabila saya bacakan pecahan itu, cabang yang wakil PKR keluar menarik lebih ramai ahli, ini 'patern' yang menarik," dakwanya.