Alat teknologi tinggi kawal sempadan jamin keselamatan

Ahmad Yaakob
Ahmad Yaakob
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menyambut baik langkah kerajaan Persekutuan untuk menambah aset dan penggunaan peralatan berteknologi tinggi melibatkan kawalan keselamatan di lima sempadan hadapan termasuk Kelantan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob berkata, kerajaan negeri sangat mengalu-alukan hasrat tamah baik dari segi peralatan, sumber manusia atau apa sahaja yang dirasakan perlu.

“Kita tahu, jika sempadan tidak dikawal betul-betul, kebimbangan bukan sahaja penyeludupan manusia malah pelbagai penyeludupan lain juga boleh berlaku.

“Kita sebagai kerajaan sangat mengalu-alukan hasrat tersebut bagi memastikan keselamatan di sempadan kekal terjamin,” katanya pada sidang media di Kompleks Kota Darul Naim, pada Isnin.

Sebelum itu, Ahmad menyaksikan Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin secara maya oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin sebelum itu mengumumkan kawalan sempadan akan menjadi antara fokus Kerajaan melalui transformasi pengurusan dan tadbir urus.

Lima sempadan hadapan atau five-front approach yang merangkumi sempadan utara Kedah, sempadan utara Kelantan, Selatan, Sabah dan Sarawak akan ditambah baik dengan aset dan penggunaan peralatan berteknologi tinggi berbeza mengikut kesesuaian bentuk muka bumi di sempadan.

Ini termasuklah penambahan pos kawalan, pagar sempadan, kamera litar tertutup (CCTV), radar dan dron yang berkapasiti tinggi.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin juga memberitahu, kerajaan turut memperkasakan kawalan sempadan melalui Op Benteng di bawah National Task Force (NTF) terdiri daripada pelbagai agensi keselamatan bagi mengekang kemasukan PATI yang menyebabkan peningkatan penularan Covid-19.

Sementara itu, Ahmad berkata, Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin adalah imbasan lengkap dan menyeluruh bagi menggambarkan keadaan sebenar dialami Malaysia sejak berlakunya penularan Covid-19, termasuklah untuk menjaga perpaduan dalam negara.

“Apa yang kita ingat, usaha menjaga perpaduan negara ini sememangnya jelas dan berjaya dibuat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana (kini) tiada keresahan di kalangan umat islam dan kaum lain.

“Tidak seperti sebelum ini, kita lihat ada keresahan sebab ada pihak yang sengaja membangkitkan masalah perkauman, tetapi keadaan ini reda semula.

“Kita harap ia berpanjangan untuk selama-lamanya sehinggalah sekurang-kurangnya selepas ordinan darurat ditarik balik dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan, maka rakyat dapat buat pilihan terbaik,”katanya.