Ibu bapa puas hati persiapan sekolah

Mahmuzir (kiri) ketika menyampaikan taklimat kepada ibu bapa dan waris Tahun Satu pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Haji Mohd Shariff, Alor Setar, Kedah.
Mahmuzir (kiri) ketika menyampaikan taklimat kepada ibu bapa dan waris Tahun Satu pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Haji Mohd Shariff, Alor Setar, Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Ibu bapa tidak bimbang dengan pembukaan sesi persekolahan yang bermula Isnin walaupun perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Mereka turut berpuas hati dengan persiapan pihak sekolah yang mengambil langkah pencegahan dengan mengamalkan SOP bermula dari luar pagar sekolah hingga ke bilik darjah.

Tinjauan Sinar Harian mendapat ibu bapa gembira dengan pematuhan SOP yang dilaksanakan pihak sekolah.

Pengajar di sekolah memandu, Shahrul Azmir Salleh, 46, berkata, dia berpuas hati dengan persediaan di sekolah yang dilihat sangat teratur dan mudah diikuti murid.

“Saya tidak risau anak ke sekolah sebab pihak sekolah mengutamakan langkah pencegahan yang ketat, SOP nampak teratur selain terdapat arahan jelas untuk pemahaman murid,” katanya.

Menurut Shahrul Azmir, anaknya, Siti Nur Umairah tiada masalah untuk mematuhi SOP kerana sudah biasa dengan norma baharu persekolahan pada tahun lalu.

“Tahun lepas anak sudah didedahkan dengan SOP di sekolah ketika Tahun Satu. Bagaimanapun, saya sentiasa berpesan supaya anak mengikut arahan guru dan patuh SOP ketika berada di luar rumah,” katanya.

Tambahnya, dia yakin dengan komitmen pihak sekolah dapat mengekang penularan Covid-19 di kawasan sekolah malah gembira sesi persekolahan dibuka semula.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zami Ariff Azzaudin, 38, turut berpuas hati dengan persediaan pihak sekolah yang mementingkan aspek keselamatan.

“Pihak sekolah adakan taklimat kepada ibu bapa dan penjaga untuk maklum SOP dan sebagainya. Walaupun pertama kali anak mula bersekolah, dia tiada masalah dengan norma baharu sebab mengikuti prasekolah di sini,” katanya.

Menurutnya, anaknya begitu bersemangat untuk ke sekolah kerana sudah lama terperuk di rumah akibat Covid-19.

“Anak saya tidak kekok memakai pelitup muka dan akur tidak boleh duduk berdekatan rakan di sekolah dan saya juga tidak bimbang sebab sekolah amalkan SOP ketat,” katanya.

Sementara, Guru besar SK Haji Mohd Shariff, Mahmuzir Osman berkata, pembukaan sekolah dalam norma baharu bukan masalah untuk meneruskan pembelajaran secara berkesan.

“Kami mengadakan taklimat ringkas kepada ibu bapa dan penjaga Tahun Satu supaya mereka tidak bimbang keselamatan anak ketika di sekolah. Pematuhan SOP dalam kawasan sekolah diutamakan, selain perlu memakai pelitup muka ketika berada dalam kawasan sekolah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut melakukan penjarakan fizikal di dalam kelas selain murid dibenar makan di dalam kelas pada waktu rehat.

“Untuk memudahkan ibu bapa, makanan ditempah di kantin. Ketika waktu pulang pula, murid perlu menunggu penjaga di kantin dengan pengawasan guru,” katanya.

Mahmuzir berkata, seramai 121 murid memulakan sesi persekolahan iaitu 46 murid Tahun Satu, diikuti 50 murid Tahun Dua, manakala Prasekolah seramai 25 orang.