X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

CIDB peruntuk RM7 juta segerakan saringan untuk pekerja asing

Fadillah semasa sidang media selepas Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - [KEMAS KINI] Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bersetuju memperuntukkan RM7 juta untuk membantu syarikat pembinaan kecil dan sederhana menyegerakan ujian saringan Covid-19 bagi pekerja asing yang berdaftar, kata Menteri Kanan (Kerja Raya) Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, walaupun terdapat program saringan Covid-19 bagi pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), syarikat pemaju perlu mendahulukan bayaran yang menyebabkan syarikat kecil dan sederhana tidak mampu berbuat demikian.

Beliau menegaskan saringan Covid-19 bagi pekerja asing itu adalah usaha penting untuk mengurangkan risiko jangkitan di tapak pembinaan.

"Sekarang ini kita lihat sektor pembinaan berjalan dengan rancak tetapi pada masa yang sama cabaran adalah pematuhan SOP (prosedur operasi standard) sebab sektor pembinaan adalah penyumbang kedua terbesar dalam kes positif Covid-19," katanya pada sidang media selepas majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin, di sini pada Isnin.

Menurut Fadillah, sektor pembinaan kerugian RM11.6 bilion dalam bulan pertama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lepas.

Fadillah berkata, subsidi sebanyak RM50 seorang ini diberi kepada setiap Personel Binaan Asing yang mempunyai Pendaftaran Personel Binaan CIDB sah bagi menjalani ujian saringan Covid-19 yang diuruskan CIBD Holdings Sdn Bhd melalui klinik panel tersenarai.

Beliau berkata, insentif ini akan dilaksana melalui dua kaedah iaitu saringan di tapak pembinaan sekiranya melebihi 30 permohonan serta saringan secara pandu lalu menggunakan ujian calitan RTK- Antigen dan keputusan akan diperoleh dalam masa 30 minit.

"Kos sebenar yang ditetapkan adalah sebanyak RM100 bagi personel binaan asing berdaftar dan RM50 akan ditanggung oleh CIDB manakala bagi personel binaan asing tidak berdaftar, caj penuh RM100 akan dikenakan," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kementerian Kerja Raya di sini pada Isnin.

Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid pula berkata selain menggalakkan majikan menghantar pekerja tapak bina menjalani ujian saringan Covid-19, subsidi sekali beri itu juga bertujuan menggalakkan lebih ramai personel binaan yang tidak berdaftar untuk mendaftarkan diri kepada CIDB.

Beliau berkata buat masa ini, seramai 140,000 individu telah berdaftar di bawah CIDB dan jika terdapat keperluan, pihaknya akan memohon peruntukan tambahan untuk subsidi ujian Covid-19. Katanya, majikan boleh membuat pendaftaran untuk ujian saringan pekerja di https://admin.cswms.com.my/ dan bagi mendapatkan maklumat lanjut, mereka boleh menghubungi 03-4042 8880.

Maklumat mengenai SOP dan Garis Panduan Industri Pembinaan pula boleh dirujuk di laman sesawang CIDB Malaysia www.cidb.gov.my/ms/pkp-kebenaran-peranan atau melalui Telegram rasmi CIDB Malaysia https://t.me/cidbmy atau hubungi Hotline CIDB 03-5567 3300. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!