X

Kindly register in order to view this article
!

SOP di sekolah baik, tahap pematuhan tinggi - Radzi

Dr Radzi Md Jidin
A
A

PUTRAJAYA - Hari pertama persekolahan secara bersemuka bagi murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua di seluruh negara hari ini menyaksikan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi dalam kalangan warga sekolah termasuk murid.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin berkata, pembukaan didahulukan bagi kumpulan murid itu untuk membiasakan mereka dengan keadaan di sekolah memandangkan pertama kali masuk ke sekolah.

“Kadang-kadang kita rasa anak-anak ini tidak patuh, tapi kalau kita pergi tengok sendiri dan saya biasa melawat sekolah tanpa memaklumkan kehadiran saya, kita lihat anak-anak ini memang mematuhi SOP terutama di dalam kelas.

“Sebab itu di sekolah kita meminimumkan pergerakan mereka, kita telah berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) apakah pendekatan supaya pergerakan diminimumkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di sini hari ini.

Menurutnya, susah hendak membuat kawalan apabila terlalu banyak pergerakan, namun dalam sekolah pergerakan agak terhad.

"Saya sempat melawat dua buah sekolah hari ini dan mendapati ibu bapa juga patuh garis panduan ditetapkan dengan hanya menghantar anak-anak hingga ke pagar sekolah sebelum mereka dibawa masuk ke kelas oleh guru masing-masing," katanya.

Radzi berkata, Kementerian Pendidikan memaklumkan kepada pihak sekolah mengenai pelbagai model boleh digunakan semasa tempoh penyuraian yang diadakan secara berperingkat untuk memastikan tidak ramai murid bersurai pada satu-satu masa.

“Guru besar boleh melihat kedudukan sekolah, bagaimana dengan jalan atau kesesakan dan boleh memilih apakah pendekatan untuk menyuraikan murid-murid.

“Sebab itu bagi kemasukan minggu ini, kita bagi kelonggaran untuk mereka lakukan secara berperingkat tetapi bergantung kepada kapasiti sekolah sebab minggu pertama ramai ibu bapa yang tidak biasa menghantar anak," katanya.

Beliau berkata, kerjasama ibu bapa diperlukan untuk memastikan kesesakan dikurangkan di hadapan sekolah supaya semua mematuhi SOP ditetapkan. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!