'Council of Elders' terajui PKR Sarawak: Saifuddin

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

KULIM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak akan dipimpin oleh 'Council of Elders' susulan tindakan bekas Pengerusi PKR Negeri, Larry Sng Wei Shien mengumumkan keluar parti.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, pemimpin kanan parti berkenaan akan mengambil alih pentadbiran parti di negeri itu selepas Larry Sng yang juga Ahli Parlimen Julau tidak lagi menyokong PKR.

Menurutnya, ia bertujuan bagi membawa hala tuju parti itu terutama persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tidak lama lagi.

"Beberapa pimpinan kanan Sarawak akan dilantik mengetuai kepimpinan di negeri itu yang dikenali dengan 'Council of Elders'," katanya ketika melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sungai Ular di sini pada Isnin.

Dalam pada itu katanya, tindakan keluar parti oleh wakil rakyat itu tidak menjejaskan persiapan PRN di negeri itu yang kini telah memasuki 90 peratus.

"Persiapan sudah sampai peringkat akhir, sudah 90 peratus, walaupun mereka keluar parti, langsung tidak menjejaskan persiapan kerana semua dah hampir siap," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Larry Sng keluar daripada PKR dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tindakan itu dikatakan dibuat atas beberapa faktor antaranya ketidakstabilan politik di negara ini yang menjejaskan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Turut mengumumkan keluar PKR dan menyokong Muhyiddin ialah Ahli Parlimen Tebrau, Stephen Choong.