Santhara nafi ulang alik ke New Zealand sepanjang PKP

Santhara Kumar Ramanaidu
Santhara Kumar Ramanaidu
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar menafikan dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang menuduh beliau ke New Zealand secara ulang-alik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, beliau ke negara berkenaan sebelum PKP dikuatkuasakan selepas permohonan cuti selama 55 hari bekerja disokong Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa pada 10 Disember dan diluluskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Disember.

Jelas Santhara, tujuan beliau ke New Zealand bagi melawat keluarga terutama anaknya yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang dan menunaikan tanggungjawab sebagai bapa kepada anak berusia sembilan tahun selepas setahun tidak berjumpa, selain isteri yang mengalami masalah kesihatan.

“Saya telah mematuhi prosedur Jabatan Imigresen Malaysia supaya memohon kebenaran untuk keluar negara (MyTravelPass) secara dalam talian.

“Permohonan MyTravelPass saya telah dikemukakan kepada Jabatan Imigresen Malaysia pada 30hb Oktober 2020 dan menerima kelulusan tersebut pada 2hb November 2020,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Santhara, beliau telah keluar negara sebelum PKP diumumkan semula di Malaysia iaitu setelah menghadiri semua sidang Parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Selain itu, beliau menafikan kenyataan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran berkaitan keluar dan masuk secara ulang alik untuk menghadiri Sambutan Hari Wilayah.

“Saya juga telah diluluskan cuti tanpa gaji bagi yang melebihi kelayakan cuti rehat saya. Saya tidak keluar dan masuk Malaysia sepanjang cuti berkenaan seperti yang ditimbulkan. Jadi, tidak timbul isu kerajaan Perikatan Nasional tidak berlaku adil kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

Pada 27 Februari lalu, media telah membangkitkan isu berkaitan beliau yang telah keluar negara ke New Zealand.

Bagaimanapun menurutnya, komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Segamat sentiasa menjadi keutamaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Beliau berkata, sepanjang tempoh memegang jawatan, beliau tidak pernah memohon cuti rehat, bercuti pada hujung minggu atau cuti peristiwa mahupun cuti perayaan, atau mendapatkan cuti sakit.

“Ini bagi memastikan saya sentiasa dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dalam mendepani setiap isu berkaitan pandemik Covid-19 dan isu rakyat di Wilayah Persekutuan dan Parlimen Segamat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pada tahun 2020.

“Semua gerak kerja di kawasan Parlimen Segamat terus dirancang dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin, seperti yang tertera dalam akaun media sosial facebook rasmi saya (www.drsanthara.com). Begitu juga dengan semua tugas di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau juga akan berbincang dengan peguamnya setelah kembali berkaitan tuduhan fitnah palsu yang dilemparkan dan telah menjejaskan reputasinya.

Tambahnya, laporan polis juga akan dibuat terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab kerana melemparkan tuduhan palsu dengan niat yang jahat dan mengelirukan rakyat.