Puas dapat hulur bantuan

Mas Imran (tiga, kanan) ketika menjayakan misi #Perahu4Palu.
Mas Imran (tiga, kanan) ketika menjayakan misi #Perahu4Palu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Susuk tubuh dan nama beliau bukanlah asing dalam gerak kerja misi kemanusiaan, kebajikan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Johor mahupun negara ini.

Jika ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengajaknya berkolaborasi untuk membantu golongan memerlukan, beliau bersedia untuk mendengar.

Malah jika dimaklumkan ada keluarga atau individu dilanda kesusahan, beliau akan segera mendapatkan maklumat dan tidak mengambil masa yang lama untuk menghantar bantuan.

Itulah Mas Imram Adam, 45, berasal dari Muar yang terkenal dengan aktiviti kebajikan, CSR dan misi kemanusiaan bersama NGO membantu golongan memerlukan di dalam dan luar negara.

Mas Imran berkata, penglibatannya dalam gerak kerja kebajikan itu telah bermula sejak lebih 15 tahun lalu.

“Selain untuk membantu masyarakat setempat yang memerlukan, ini juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat yang diwakili iaitu Econsave Cash & Carry.

“Ia adalah satu wadah untuk berkongsi sedikit keuntungan (syarikat) bersama masyarakat setempat,” katanya.

Menurutnya, kebiasaannya, beliau akan mendapatkan maklumat mengenai golongan yang akan dibantu daripada rakan-rakan termasuklah dari pelbagai NGO.

Artikel Berkaitan:

“Saya bersama pihak syarikat dan NGO lain akan cuba untuk menghulurkan bantuan kepada mereka sebolehnya.

“Untuk kes memerlukan dana yang tinggi, kami akan lancarkan tabung bantuan segera. Sebagai contoh, kes yang melibatkan penyakit kronik atau kes yang memerlukan pembedahan,” katanya.

Mas Imran (baju hijau) menyerahkan sumbangan perahu kepada nelayan yang kerosakan bot ketika tsunami di Indonesia.
Mas Imran (baju hijau) menyerahkan sumbangan perahu kepada nelayan yang kerosakan bot ketika tsunami di Indonesia.

Ditanya mengapa memilih untuk bergiat aktif dalam aktiviti kebajikan, Mas Imran berkata, beliau sendiri bukan hadir dari keluarga yang senang malah pernah merasai kesusahan hidup.

“Dengan itu, kita tahu bagaimana keperitan melaluinya. Jadi apabila kita dapat tahu ada keluarga yang memerlukan bantuan, kami akan segera menyalurkan sumbangan.

“Ini dilakukan dengan apa yang termampu dengan harapan sedikit sebanyak membantu penerima untuk terus menjalani kehidupan,” katanya.

Selain aktif dalam aktiviti CSR, beliau yang juga Pengurus Besar Econsave Cash & Carry Wilayah Selatan turut terlibat kegiatan misi kemanusiaan di dalam dan luar negara.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, misi kemanusiaan itu disertai dengan NGO tempatan dan bukan sahaja membantu rakyat Malaysia dilanda musibah, malah rakyat luar negara.

“Saya pernah menyertai misi kemanusiaan di Kelantan pada 2015 yang mana ketika itu berlaku banjir, dengan membawa bantuan pelbagai jenis termasuk makanan kira-kira 50 tan.

“Kemudian, saya juga terlibat dalam misi kemanusiaan di kem pelarian Palestin di Lubnan pada 2016. Dalam misi ini, saya bersama NGO melawat dan menghantar bantuan pek makanan ke kem pelarian,” katanya.

Susulan berlakunya kejadian gempa bumi dan tsunami di negara jiran, Indonesia, beliau mewakili Econsave bersama NGO seperti Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) juga tampil menghulurkan sumbangan.

Mas Imran berkata, tidak dapat dinafikan segala apa yang dilakukannya itu menghadirkan rasa lelah dan penat, namun semua itu terubat selepas melihat melihat senyuman ikhlas dilontarkan dan ucapan terima kasih penerima.

Katanya, jika dapat menghulurkan sumbangan ia menjadi satu kepuasan malah berharap lebih ramai masyarakat berbesar hati menghulurkan bantuan bagi membantu golongan memerlukan.

Selain itu, beliau berkata, keluarganya amat memahami tugasan dan minat dirinya dalam gerak kerja kebajikan dan kemanusiaan, malah memberi galakan.

“Keluarga amat memahami tugasan dan minat saya dalam kerja-kerja kemanusiaan ini. Mereka sangat menggalakkan kerana ia adalah kelakuan yang murni dan ikhlas,” katanya.