X

Kindly register in order to view this article
!

Lapor polis jika ada dakwaan 'potong barisan': KPN

Abdul Hamid pada sidang akhbar pada Isnin.
A
A

IPOH - Orang ramai digalak melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai maklumat berlakunya kejadian 'potong barisan' dalam proses pemberian vaksin fasa pertama yang telah bermula sejak 24 Februari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kesalahan itu boleh dianggap sebagai satu penyelewengan dan tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap pihak yang terlibat.

"Kalau sekiranya berlaku sepertimana didakwa, kita minta laporlah kepada pihak saya (polis), mungkin ada penyelewengan di satu-satu pihak dan ia boleh jadi satu kesalahan jenayah," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Penutup Kursus Asas Konstabel Orang Asli Siri 1 2020 di lapang sasar utama Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan mengatakan terdapat 200 Ahli Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan cuba 'memotong barisan' untuk menjadi penerima terawal suntikan vaksin Covid-19.

Mesej yang tular di media sosial itu mendakwa suntikan vaksin kepada doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan yang tersenarai awal sebagai penerima terpaksa ditangguhkan untuk memberi ‘laluan' kepada 200 ahli SUK Kelantan terbabit.

Abdul Hamid berkata, setakat ini tiada laporan rasmi dibuat kepada polis berhubung perkara itu.

"Saya dimaklumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ada mengeluarkan kenyataan untuk siasat perkara itu.

"Kalau benar ada berlaku, kita minta laporkan kepada polis," katanya.

Dalam pada itu beliau mengesahkan belum ada tangkapan dibuat terhadap mana-mana ahli kumpulan anti vaksin.

Bagaimanapun pihaknya menberi jaminan akan mengambil tindakan lebih tegas sekiranya kumpulan berkenaan terus mencabar pihak berkuasa dengan menyebarkan propaganda bagi tujuan menghasut masyarakat.

"Saya harap tidak akan ada tangkapan, tetapi kalaulah mereka ini masih cuba mencabar dan bersifat busuk hati menghasut orang lain dengan fakta dan cerita yang hanya dijadikan hujah untuk meningkatkan keyakinan orang supaya tidak divaksin.

"Maka saya akan pastikan mereka ini ditangkap," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!