Pengarah didakwa salah guna wang syarikat RM603,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat perisian komputer dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas satu pertuduhan menyalah guna wang milik syarikatnya berjumlah RM603,000, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, G Shamala Devi, 47, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Mengikut pertuduhan, wanita itu yang merupakan pemilik syarikat CSE Solution Sdn Bhd didakwa menyalahgunakan wang berjumlah RM603,000 yang diterima dalam akaun Maybank milik syarikat berkenaan menerusi tujuh transaksi untuk kegunaannya sendiri, pada 3 Januari 2018 hingga 24 Disember 2018.

Ibu kepada empat orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Khairiyah Samsudin mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin kerana pertuduhan itu melibatkan jumlah yang besar manakala peguam Aravind Raj yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan empat anak tertuduh masih bersekolah dan suaminya telah meninggal dunia.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 April ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: