Exco tak potong barisan: MB Perak

Saarani menerima suntikan vaksin Covid-19 yang dikendalikan Jururawat Kesihatan Awam Pejabat Kesihatan Daerah Kinta, M Kirage Letchemy di PPV Stadium Indera Mulia, di sini pada Isnin.
Saarani menerima suntikan vaksin Covid-19 yang dikendalikan Jururawat Kesihatan Awam Pejabat Kesihatan Daerah Kinta, M Kirage Letchemy di PPV Stadium Indera Mulia, di sini pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Pemberian vaksin Covid-19 kepada exco kerajaan negeri bagi fasa pertama bukan bermaksud mengambil giliran petugas barisan hadapan mendapatkan suntikan tersebut.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pemberian vaksin untuk Exco kerajaan negeri sudah dirancang sejak awal mengikut jadual ditetapkan.

Menurutnya, seramai 10 Exco sahaja yang mengambil vaksin berkenaan manakala selebihnya diperuntukkan khusus kepada petugas barisan hadapan.

"Terdapat beberapa pendapat (dalam isu pemberian vaksin), ada setengah mengatakan lebih baik beri kepada orang ramai terlebih dahulu dan pemimpin buat kemudian. Dulu kita pernah buat cadangan begitu tetapi ada yang pertikai kenapa percubaan bagi rakyat lepas itu baru pemimpin. Jadi kita buat keputusan bagi pemimpin dahulu untuk beri contoh kepada semua orang, (itu pun) orang komplen juga.

"Sebenarnya di Perak tidak ada isu jump queue (potong giliran) memang dalam jadual asal hari pertama ini kita berikan kepada Menteri Besar dan Exco. Kepada rakyat jangan bimbang, ikut sahaja keputusan dibuat oleh kerajaan kerana sudah tentulah kerajaan akan buat sesuatu yang baik untuk rakyatnya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Perak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia, di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ciapan di Twitter oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa pemberian vaksin kepada semua barisan Exco kerajaan negeri secara sekali gus bukan sesuatu yang baik.

Pada 28 Februari lalu, Khairy Jamaluddin menjelaskan bahawa kerajaan memandang serius terhadap dakwaan berlaku kejadian 'potong barisan' dalam proses pemberian vaksin fasa pertama di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula pada 24 Februari lalu.

Sementara itu, Saarani menjelaskan ciapan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu di Twitter bukanlah satu arahan tetapi bertujuan memahami dan melayani pandangan orang ramai supaya pemimpin tidak dilihat seolah-olah diberikan keutamaan dalam menerima vaksin Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, saranan itu dibuat sebagai memperlihatkan berlaku keadilan dalam pemberian vaksin dalam kalangan pemimpin serta rakyat yang boleh dibuat berselang seli.

Dalam pada itu, Majlis Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Perak pada Isnin menyaksikan Saarani bersama 10 Exco menjadi antara penerima awal suntikan vaksin Covid-19 berkenaan.

Kesemua mereka termasuk di dalam senarai 222 individu terdiri daripada petugas di pejabat-pejabat kesihatan dan makmal kesihatan sekitar daerah Kinta yang menerima vaksin pada hari pertama Program Imunisasi Covid-19 di Perak.