Johor cadang gelembung perjalanan khas kepada penerima vaksin

Hasni
Hasni
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor bercadang memperkenalkan gelembung perjalanan khas kepada penerima vaksin sebagai permulaan pembukaan sempadan darat Malaysia- Singapura.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, cadangan berkenaan akan dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan supaya dapat dibincangkan dengan lebih lanjut.

Menurutnya, cadangan berhubung gelembung perjalanan khas itu dibuat selepas Johor melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 di negara ini pada Isnin sementara Singapura pula difahamkan sudah bermula pada 30 Disember lalu.

"Gelembung perjalanan khas terhadap penerima vaksin antara Malaysia-Singapura disarankan diperkenalkan memandangkan semua penerima akan menerima sijil vaksin.

"Saranan berkenaan akan dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat supaya dapat diperinci dan diputuskan," katanya pada Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Negeri Johor, di Dewan Muafakat Taman Adda, di sini pada Isnin.

Singapura dilaporkan memulakan proses pemvaksinannya pada 30 Disember lalu, dengan petugas kesihatan di Pusat Penyakit Berjangkit Nasional (NCID) adalah mereka yang mula-mula menerima suntikan vaksin berkenaan.

Lebih daripada 155,000 individu sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Singapura sehingga 31 Januari lalu.

Artikel Berkaitan: