X

Kindly register in order to view this article
!

Teruja dapat bersemuka dengan rakan di sekolah

Zahra sempat bersalam dengan bapanya sebelum melangkah masuk ke sekolah untuk memulakan sesi pembelajaran.
A
A

KOTA BHARU – “Sebelum ini dapat tengok melalui telefon dan komputer sahaja, hari ini boleh jumpa kawan depan-depan,” kongsi murid Tahun 1, Wan Nur Az-Zahra Wan Mohd Azhar ketika ditemui di luar sekolah pada hari pertama sesi persekolahan pada Isnin.

Keterujaan tersebut dikongsi Zahra yang sebelum ini hanya mengenali rakan-rakan dan guru melalui kelas dalam talian sebagaimana yang berlangsung baru-baru ini.

Katanya, walaupun teruja, namun dia masih bimbang dengan penularan Covid-19 memandangkan ia masih lagi belum selamat sepenuhnya.

“Takut juga, tapi umi sudah pesan supaya jaga diri elok-elok, basuh tangan, duduk jauh-jauh, dengar cakap cikgu. Harap semua kawan-kawan pun akan buat perkara yang sama,” katanya.

Walaupun risau dan bimbang untuk melepaskan anak-anak berdikari ketika penularan Covid-19 masih berlaku, namun ibu bapa terpaksa akur dan patuh pada arahan pihak sekolah bagi memastikan hari pertama sesi persekolahan pada Isnin berjalan lancar.

Meskipun tidak dibenarkan menunggu di depan pagar utama sekolah, namun ada di antara ibu bapa yang masih menjenguk anak-anak mereka semasa berada di dalam kenderaan bagi memastikan mereka ‘berpuas hati’ sebelum meninggalkan sekolah.

Itu antara reaksi yang dipamerkan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka untuk sesi persekolahan melalui tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi sekolah pada hari pertama sesi persekolahan bersemuka bermula pada Isnin.

Jihad (kanan) bersama bapanya sempat merakamkan gambar bersama untuk kenangan hari pertama dia menjejakkan kaki ke sekolah.
Jihad (kanan) bersama bapanya sempat merakamkan gambar bersama untuk kenangan hari pertama dia menjejakkan kaki ke sekolah.

Seorang ibu, Azeanti Awang, 41, berkongsi pengalamannya yang membuat persediaan sejak seminggu lalu bagi memastikan keperluan yang diperlukan anaknya tidak tertinggal.

“Bila kementerian umumkan sekolah akan dibuka, memang ibu bapa lah yang paling kelam kabut, walaupun sebenarnya barang-barang semua sudah ada.

"Alhamdulilah, semuanya berjalan dengan baik, apa sahaja pesanan guru-guru kami ikut dan bekalkan kepada anak-anak,” katanya.

Azeanti berkata, walaupun berdepan kekangan masa disebabkan bertugas sebagai petugas barisan hadapan, namun ia tidak menghalangnya untuk menyediakan semua keperluan terlebih awal.

Sementara itu, salah seorang murid, Jihad Afeef Junaidi berkata, dia bangun seawal jam 5 pagi untuk mandi dan solat sebelum bersiap untuk ke sekolah.

Katanya, walaupun ini adalah hari pertama dia menjejakkan kaki ke sekolah, namun dia sangat teruja apabila abang dan kakaknya sudah pun memberi ‘gambaran awal’ keadaan di sekolah bagi memastikan dia tidak kekok berdepan suasana baharu itu.

“Saya tidak takut pun sebab abang saya sudah ajar bagaimana cara untuk berdepan dengan kawan-kawan dan cikgu.

"Saya pun teruja untuk jumpa kawan-kawan. Memang suka sangat, harapnya semua patuh pada arahan dan pesanan cikgu,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!