Kerajaan tumpu pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital dengan tiga tujuan utama termasuk menyediakan generasi fasih digital yang mampu menguasai pengetahuan dan kemahiran digital serta berupaya menghasilkan inovasi menggunakan teknologi digital.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata selain itu, dasar tersebut juga memberi tumpuan untuk meningkatkan kompetensi dan pembangunan profesional pihak berkepentingan berkaitan kepimpinan serta pengintegrasian teknologi digital dalam pendidikan.

"Tujuan ketiga adalah merapatkan jurang digital bagi melahirkan warganegara yang bertanggungjawab dan berfungsi dalam masyarakat berilmu berlandaskan nilai murni," katanya pada majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin sempena genap setahun beliau menerajui kerajaan pada Isnin.

Turut hadir ialah barisan Kabinet termasuk Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin serta ketua-ketua jabatan kerajaan.

Muhyiddin berkata, Dasar Pendidikan Digital akan melonjakkan kualiti pendidikan negara agar menjadi antara yang terbaik di dunia.

Perdana menteri berkata, Majlis Pekerjaan Negara (MPN) yang ditubuhkan oleh kerajaan meletakkan sasaran untuk mewujudkan sebanyak 500,000 peluang pekerjaan kepada rakyat pada tahun ini.

Beliau berkata bagi tujuan itu, kerajaan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang melaksanakan program Penjana Kerjaya 2.0 dan pemerkasaan portal MYFutureJobs bagi menggalakkan majikan mengambil serta melatih pekerja baharu.

Seramai 161,603 pencari kerja telah ditempatkan dalam pekerjaan baharu sepanjang tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

"Setakat 26 Feb lepas, seramai 25,648 orang telah berjaya mendapat pekerjaan manakala melalui MyFutureJobs, terdapat 243,892 tawaran pekerjaan masih terbuka untuk para pencari kerja di mana 143,320 peluang pekerjaan telah diwujudkan menerusi portal itu," katanya.

Mengakui pandemik Covid-19 memberi kesan besar kepada masalah pengangguran di negara ini, Muhyiddin berkata tahun lepas sebanyak 107,024 kes pemberhentian kerja dilaporkan manakala 14,273 kes lagi dilaporkan sehingga 21 Februari lalu.