Pengurus ladang rugi RM8,500 diperdaya scammer

Gambar kecil: Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof
Gambar kecil: Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang pengurus ladang mengalami kerugian RM8,500 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 44 tahun dari Mentakab itu menerima panggilan daripada pegawai LHDN Cyberjaya memaklumkan dia mempunyai tunggakan cukai syarikat mencecah RM38,600 yang perlu dijelaskan segera.

Menurutnya, mangsa menafikan berhubung perkara itu kerana tidak pernah mendaftar atau memiliki sebarang syarikat.

“Suspek meyakinkan mangsa bahawa ada pihak lain telah menggunakan nombor kad pengenalannya untuk mendaftarkan syarikat tersebut dan dia diminta membuat laporan polis ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

“Mangsa kemudian dirujuk kepada seorang pegawai polis dari IPK Pahang melalui sambungan telefon untuk semakan dan menyelesaikan kes itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohd Wazir berkata, mangsa diarah memuat turun aplikasi Bank Negara (BNM) dan mengisi maklumat peribadi, maklumat kad bank dan semua butiran perbankan internet bagi tujuan semakan.

"Mangsa juga turut diarahkan memindahkan wang dari semua akaun banknya ke satu akaun dengan menggunakan perbankan internet sahaja bagi mengesahkan transaksi tersebut.

“Mangsa akur dan berbuat demikian tanpa menyedari dia telah terjerat dalam perangkap ‘scammer’," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Wazir berkata, mangsa menyedari telah ditipu selepas membuat semakan dengan pihak bank pada petang hari sama dan mendapati berlaku pemindahan wang dari akaun banknya ke akaun lain atas nama seorang wanita tidak dikenali.

Beliau berkata, susulan kejadian mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Mentakab dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Usaha mengesan wanita pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes itu sedang dijalankan bagi membantu siasatan,"katanya.