Kerajaan beri fokus sumber kekayaan baharu

Muhyiddin - Foto Bernama
Muhyiddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan terus memberi fokus utama kepada agenda pendigitalan selaras dengan pertumbuhan sumber kekayaan baharu dan transformasi ekonomi negara dalam aktiviti yang berasaskan pengetahuan dan inovasi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menjelang tahun 2025, ekonomi digital dijangka menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Berdasarkan Laporan International Institute for Management Development (IMD) World Digital Competitiveness Ranking 2020, daripada 63 buah negara, Malaysia berada pada kedudukan ke-26 dengan skor 82.39 peratus,” katanya pada Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin pada Isnin.

Manakala dari segi aspek kreativiti dan inovasi, Malaysia berada pada kedudukan ke-12 daripada 190 ekonomi Rantau Asia Timur dan Pasifik dengan skor 81.5 dalam Laporan Menjalankan Perniagaan 2020 Bank Dunia.

Sehubungan itu, kerajaan telah melancarkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan inisiatif MyDigital pada 19 Februari lalu bertujuan menyediakan hala tuju untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya saing dalam era digital ini.

“Inisiatif MyDigital yang berpotensi menarik pelaburan yang dianggarkan bernilai RM70 bilion pastinya akan meningkatkan daya saing negara di samping menjadi antara pemangkin utama pemulihan ekonomi negara dan penciptaan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan untuk rakyat,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, kerajaan melalui kementerian dan agensi-agensi berkaitan telah bekerjasama dengan pihak penyedia perkhidmatan komunikasi utama untuk membangunkan sebuah pelan infrastruktur digital yang menyeluruh bagi memenuhi keperluan baharu rakyat.

Katanya, pelan tindakan yang dikenali sebagai Jalinan Digital Negara (Jendela), akan menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, pelaksanaan Jendela diharapkan dapat menyediakan penyelesaian kepada masalah capaian internet di kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Kerajaan juga telah meluluskan sebanyak 128 projek teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan pendigitalan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM3.8 bilion dengan peruntukan tahun 2021 sebanyak RM538.7 juta.

"Projek-projek yang diluluskan tersebut meliputi pembangunan sistem, infrastruktur dan perisian keselamatan siber, latihan kompetensi kerajaan digital serta menaiktaraf kelengkapan ICT di institut latihan," jelasnya. - Bernama