Belia kumpul sumbangan pakaian terpakai

A
A
A

KUANTAN - Orang ramai yang mempunyai pakaian terpakai yang masih boleh digunakan lagi, dialu-alukan untuk menyertai program sumbangan pakaian bersama Majlis Belia Negeri Pahang, di Wisma Belia, Indera Mahkota, di sini.

Sekretariatnya, Nur Fariesha Nadira Shukor Karim berkata, program pengumpulan pakaian tersebut sedang berlangsung sehingga 15 Februari ini sebelum memulakan proses pengasingan.

Menurutnya, bagi tujuan itu, pihak Majlis Belia memohon jasa baik orang ramai untuk membuat pengasingan awal bagi kategori pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak.

"Pakaian hendaklah dikumpul dalam kotak yang berasingan serta dilabelkan. Pakaian terpakai ini nanti akan disumbangkan kepada golongan yang memerlukan di sekitar negeri ini.

"Tempat penyerahan dibuka pada jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang beralamat di tingkat 1, Blok A, Wisma Belia Negeri Pahang, Indera Mahkota. Setakat ini Alhamdulillah kami telah menerima ratusan bungkusan pakaian terpakai daripada warga Kuantan yang prihatin.

"Kerjasama dan sumbangan ikhlas daripada pihak warga Kuantan, kami dahului jutaan terima kasih dan semoga usaha amal jariah ini dapat meringankan beban masyarakat yang memerlukan seterusnya mengeratkan ukhuwah silatulrahhim," katanya di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan: