X

Kindly register in order to view this article
!

‘Kalau tak bagi, aku bunuh semua sat lagi'

Seorang lelaki ditahan selepas mengamuk dan mengugut mahu membunuh ahli keluarganya dalam kejadian di Kampung Setol, Kepala Batas pada Ahad. - Foto 123RF
A
A

KEPALA BATAS - Seorang lelaki ditahan selepas mengamuk dan mengugut mahu membunuh ahli keluarganya selepas gagal mendapatkan wang diminta daripada ayahnya dalam kejadian di Kampung Setol di sini pada Ahad.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, lelaki berusia 33 tahun itu dikatakan merosakkan motosikal milik bapanya dengan menggunakan sebatang kayu kerana berang permintaannya tidak diendahkan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika kejadian bapanya yang berusia 60 tahun baharu pulang dari kedai dan melihat anaknya sudah menunggu di depan rumah sambil memegang sebatang kayu.

Melihat kehadiran bapanya, Noorzainy berkata, suspek terus meminta wang namun tidak diberikan menyebabkan dia berang dan bertindak agresif.

"Suspek mengugut dengan mengatakan ‘kalau tak bagi, aku bunuh semua sat lagi' dan kejadian itu disedari adik perempunnya yang berada di dalam rumah.

"Disebabkan takut dan bimbang anak lelakinya bertindak diluar jangkaan, bapanya menghubungi pihak polis bagi melaporkan kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Noorzainy berkata, sebaik menerima laporan sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian dan menangkap suspek terbabit.

Katanya, hasil semakan dilakukan mendapati anak sulung daripada empat beradik itu mempunyai rekod kesalahan lampau malah ujian saringan air kencing turut mendapati dia positif dadah jenis methamphetamin.

"Suspek kini direman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merosakan harta benda," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!