X

Kindly register in order to view this article
!

Maki polis selepas gagal tunjuk surat rentas negeri

Video yang tular memaparkan lelaki bertindak mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis yang menahannya dalam SJR pada 18 Februari lalu.
A
A

NIBONG TEBAL - Seorang lelaki ditahan selepas enggan memberi kerjasama, selain mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis yang bertugas dalam sekatan jalan raya di Plaza Tol Jawi di sini pada 18 Februari lalu.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, lelaki berusia 28 tahun itu dikatakan gagal menunjukkan surat kebenaran rentas negeri ketika ditahan dalam sekatan berkenaan.

Difahamkan, lelaki yang memandu kereta jenis Mitsubishi Lancer dalam perjalanan dari Butterworth menuju ke Bagan Serai, Perak.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, lelaki berkenaan mula bertindak agresif selepas diminta menyerahkan kad pengenalan dan lesen memandu oleh anggota bertugas.

"Lelaki tersebut bertindak membaling kad pengenalan dan lesen memandu ke arah anggota polis yang sedang bertugas.

"Disebabkan itu, anggota yang bertugas terus menahannya selepas bertindak kasar, tidak memberi kerjasama dan menghalang petugas menjalankan tugas sekatan jalan raya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Chong Chern berkata, semasa proses tangkapan dibuat, lelaki berkenaan mengeluarkan perkataan kesat dan enggan memberikan kerjasama.

Katanya, hasil siasatan yang dijalankan mendapati lelaki tersebut mempunyai rekod rawatan mental di Hospital Taiping sehingga kini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 16(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Terdahulu tular di media sosial video lelaki berkenaan yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang anggota polis.

Walaupun dihembur dengan kata-kata kesat, anggota polis berkenaan dilihat masih lagi tenang serta mengawal keadaan dengan menjelaskan kesalahan dilakukan lelaki itu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!