Kedai pakaian sekolah meriah

Seorang bapa yang dilihat sedang mengukur baju sekolah untuk anaknya.
Seorang bapa yang dilihat sedang mengukur baju sekolah untuk anaknya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ibu bapa kembali sibuk menguruskan persiapan akhir buat anak-anak yang memulakan sesi persekolahan pada hari ini.

Tinjauan Sinar Harian di Pusat Pakaian Hari-Hari di Taman Permata di sini pada Sabtu mendapati, keadaan sesak selain ibu bapa bersama anak beratur panjang bagi memasuki premis tersebut.

Pengurus Jualan Pusat Pakaian Hari-Hari Taman Permata, Nupusdevi Kasim berkata, seawal jam 9.45 pagi orang ramai beratur bagi mendapatkan pakaian sekolah anak-anak.

Menurutnya, perniagaan kembali sibuk selepas kerajaan mengumumkan pembukaan sekolah dua minggu lepas dan dijangka berterusan sehingga minggu depan.

“Sambutan menggalakkan dan hasil jualan tidak jauh beza berbanding tahun lepas cuma mood nya agak lewat disebabkan sesi persekolahan yang kebiasaannya dibuka pada Januari ditangguhkan kepada 1 Mac.

“Bagi mengelak keadaan bersesak, kami mengehadkan hanya 60 pengunjung bagi setiap sesi selain mengingatkan pengunjung untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Buat masa ini, kami tidak sekat had umur pengunjung, kanak-kanak juga dibenarkan masuk bagi memudahkan ibu bapa membuat ukuran baju pada badan anak-anak mereka,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Seorang pengunjung, Nur Haslida Daud, 36, berkata, dia baru berkesempatan membeli barangan persekolahan anak-anaknya disebabkan kesibukan kerja dan baru mendapat gaji.

Artikel Berkaitan:

“Saya beli baju sekolah anak saya yang bakal masuk Tahun Satu, sementara abangnya menggunakan uniform lama memandangkan tahun lepas hanya sempat sekolah kira-kira tiga bulan. Cuma seluarnya dibeli baru kerana sudah senteng.

“Selain itu, saya beli saiz yang besar, jika sekolah ditutup lagi, baju boleh digunakan untuk tahun depan, tidaklah membazir,” katanya yang bekerja di sektor swasta.

Orang ramai beratur panjang bagi memasuki Pusat Pakaian Hari-Hari.
Orang ramai beratur panjang bagi memasuki Pusat Pakaian Hari-Hari.

Seorang lagi pengunjung, Juazan Ahmad, 41, dilihat beratur di pusat pakaian tersebut bersama isteri dan lima anaknya untuk membeli kelengkapan sekolah.

Dia yang berkhidmat sebagai tentera memaklumkan membelikan setiap anaknya sepasang uniform memandangkan baju sekolah lama sudah singkat.

Juazan berharap, sekolah dapat diteruskan seperti biasa dengan memperkemas SOP bagi memudahkan anak-anak mengikuti pembelajaran secara semuka.

“Masa PdPR saya dah belikan setiap anak satu telefon bimbit bagi memudahkan mereka mengikuti kelas dalam talian. Tapi belajar di rumah dengan di sekolah tak sama. Anak-anak lebih fokus kalau di sekolah, di rumah mereka banyak main.

“Saya harap kerajaan dapat teruskan sesi persekolahan namun jika terpaksa tutup sekolah pun kita kena akur kerana ini soal penyakit yang kita tak nampak, jadi kita kena patuh dan sya yakin kerajaan telah membuat keputusan yang terbaik,” katanya.

Seorang kerani, Nor Ain Othman, 32, berkata, walaupun kerajaan beri kelonggaran tidak berpakaian sekolah pada sesi awal persekolahan, namun pihaknya tetap membelikan uniform kepada dua anaknya.

“Ia bagi semangat untuk anak-anak yang teruja dan tak sabar nak ke sekolah. Anak pula baru Tahun Satu dan Dua jadi memang semangat nak ke sekolah pakai uniform,” katanya.