Perginya guru yang dihormati

No Image Caption
A
A
A

PEMERGIAN Profesor Dr Malik Babikir Badri, guru, pemikir, terapis dan penulis antarabangsa yang tersohor pada hari Isnin 8 Februari 2021 ditangisi oleh keluarga serta kami para murid serta sahabatnya di seluruh dunia.

Beliau yang dilahirkan pada tahun 1932 ialah pengasas psikologi Islam pascamoden, ahli akademik di beberapa buah negara seperti Malaysia, Sudan dan Turki.

Guru yang dikasihi ialah ilmuwan yang membawa kerahmatan. Guru yang dihormati ialah ilmuwan yang beretika. Guru yang misali ialah ilmuwan yang menginspirasi. Profesor Badri mempunyai semua sifat ini.

Apabila psikiatris dan psikologis Muslim yang dilatih di Barat dipengaruhi oleh psikoanalisis Sigmund Freud dan amalan behaviorisme Burrhus F Skinner, Profesor Badri memimpin mereka daripada terjebak dalam ‘lubang biawak’ psikologi sekular Barat yang sesat dan menyesatkan.

Bukunya The Dilemma of Muslim Psychologists (WMH, London 1979) telah membuka mata saya yang ketika itu merupakan pelajar perubatan posting klinikal di Fakulti Perubatan, Universiti Kaherah, Mesir.

Profesor Badri datang dari rahim Gerakan Islam. Sebagai orang muda beliau telah dipenjarakan di Sudan lantaran prinsip hidupnya. Beliau menggelar Syeikh Hasan al-Banna yang dibunuh oleh konco-konco kolonialis dan pemimpin anti-Islam Mesir pada Februari 1949 sebagai seorang wali.

Sebagai seorang muda yang mengagumi Maulana Abul A‘la Maududi, Profesor Badri telah berkelana dari Timur Tengah untuk bertemu pembaharu Islam itu di Lahore, Pakistan.

Saya mula bertemu beliau di Kuala Lumpur pada tahun 1991 apabila Profesor Badri mula bertugas di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sejak itu kami bersahabat rapat. Beliau telah merujukkan beberapa orang pesakitnya yang memerlukan rawatan ubatan kepada saya.

Artikel Berkaitan:

Alhamdulillah saya dapat menilai, mendiagnosis serta mengurus mereka secara psikiatri. Profesor Badri mengetahui perbatasan antara psikologi dan psikiatri. Sudah tentu kami sentiasa berbincang tentang percantuman antara kedua-dua disiplin ilmu yang rapat ini.

Apabila saya menjadi pemeriksa luar pelajar doktor falsafah (PhD) beliau, saya pastikan pelajar tersebut melakukan beberapa pembetulan yang perlu sebelum diluluskan oleh panel pemeriksa. Ini tiada bezanya dengan pelajar sarjana atau PhD lain yang telah saya periksa.

Pada Persidangan Psikiatri Pan Arab dan Persidangan Tahunan Kesihatan Mental, Persatuan Psikiatri Afrika di Khartoum, Sudan pada Disember 2010, Profesor Badri telah mempengerusikan sesi pembentangan kertas saya sebagai pembicara undangan. Sebaliknya saya pula telah mempengerusikan sesi pembentangan kertas guru saya itu yang dijemput sebagai pembicara undangan juga. Satu pengalaman yang unik dan mulia.

Pada petang 30 September 2020, saya telah bersama-sama keluarga Shamsul Maarif Ismail menziarahi keluarga Profesor Badri. Itulah kali terakhir si murid menghirup bahan tarbiah dan inspirasi daripada sang guru yang tidak mengenal lelah dalam usahanya mendidik ummah.

Hingga hujung hayatnya, Profesor Badri memberi pencerahan kepada pelajar serta pembacanya tentang akhlak serta sahsiah Nabi yang diabadikan dalam al-Quran.Pada pagi Selasa 9 Februari 2021, seorang mantan pelajar Profesor Badri yang bukan beragama Islam telah mengirim mesej berteks kepada saya. Dia berasa murung dan tidak bermaya.

Profesor Badri seperti bapanya dan kini dengan pemergian gurunya itu, dia berasa dia bukanlah apa-apa di dunia ini. Dia mengenang bagaimana gurunya diziarahinya setiap minggu selama 10 tahun lebih, termasuk tiga hingga empat tahun semasa Profesor Badri menjadi penyelia PhDnya.

Profesor Badri telah mengajarnya kaunseling, bagaimana hendak menjadi positif dan bagaimana menerap nilai Islam dalam hayat sehariannya.

Kami yang dapat mendirikan solat jenazah di Masjid Zakaria, Gombak bersyukur dapat mengiringinya ke tanah perkuburan UIAM di Gombak.

Almarhum Syeikh Profesor Dr Malik Babikir Badri ialah guru psikologi Islam saya yang pertama dan terakhir. Moga rohnya dirahmati oleh ALLAH al-Ghafur.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Presiden Persatuan Terapi Psikospiritual Malaysia