RM43 juta untuk Yayasan Perak

Asmuni ketika menjawab soalan yang dikemukakan Zainun, hari ini.
Asmuni ketika menjawab soalan yang dikemukakan Zainun, hari ini.
A
A
A

IPOH- Sejumlah RM46 juta disediakan bagi membantu golongan miskin bandar dan luar bandar di negeri ini.

Exco Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Asmuni Awi, daripada jumlah itu, RM43 juta akan dilaksanakan oleh Yayasan Perak secara teratur, cekap dan berkesan mulai tahun 2019.

Beliau berkata, program-program yang akan dilaksanakan itu termasuklah program Kad Makanan dan Kad Kesihatan dengan peruntukan RM22 juta.

"Setiap penerima akan menerima kad makanan yang bernilai RM80 sebulan dan kad kesihatan dengan nilai RM300 setahun bagi setiap keluarga.

"Melalui bantuan ini, penerima bantuan boleh mendapatkan barangan keperluan bulanan atau perkhidmatan perubatan di kedai-kedai atau klinik-klinik berdaftar yang berhampiran dengan rumah masing-masing tanpa perlu menggunakan wang tunai," katanya ketika sesi soalan lisan sidang Dun Perak, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai memjawab soalan Datuk Zainun Mat Noor (BN-Chenderoh).

Asmuni berkata, selain itu juga, bantuan pinjaman kewangan tanpa faedah turut disediakan kepada usahawan dan usahawan belia dalam kalangan kumpuan B40 melalui Program Tabung Usahawan.

"Bantuan ini diberikan bertujuan untuk membolehkan peminjam mengembangkan perniagaan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Pelaksanaan bantuan ini akan dipantau bagi memastikan ia digunakan sebaiknya dan bayaran semula dapat dibuat oleh peminjam," katanya.

Beliau berkata, Yayasan Perak turut memperkenalkan Program Sayangi Rumahku bagi membantu membaiki rumah golongan B40 atau membina rumah baharu kepada mereka.

Menurutnya, selain itu, Program Rumah Harapan dan Bantuan Kotak Harapan turut disediakan untuk golongan kurang berkemampuan.

Asmuni berkata, bantuan yang disediakan itu diharap memberi manfaat kepada golongan sasar serta membantu meringankan bebanan kewangan mereka.