Tiada perkongsian data peribadi bagi penerima vaksin

Khairy Jamaluddin semasa program Sembang Vaksin secara siaran langsung di Facebook MedtweetMy pada Ahad.
Khairy Jamaluddin semasa program Sembang Vaksin secara siaran langsung di Facebook MedtweetMy pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, tiada perkongsian data peribadi bagi penerima vaksin kepada syarikat pengeluar.

Beliau yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, data umum sahaja yang dibenar untuk dikongsikan jika diminta dan bukan data secara spesifik.

Ini kerana katanya, Malaysia merupakan antara negara pertengahan yang menerima vaksin dan menyebabkan syarikat tidak meminta data secara terperinci.

“Saya difahamkan seperti vaksin Pfizer, mereka ada perjanjian dengan Israel yang merupakan antara negara paling ke depan untuk program imunisasi mereka kerana Israel dapat awal vaksin tersebut.

“Antara sebabnya yang pernah saya cakapkan kerana Israel membayar lebih tinggi dan juga membenarkan data mereka dikongsi kepada Pfizer,” katanya semasa program Sembang Vaksin secara siaran langsung di Facebook MedtweetMy.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan memandang serius isu pihak yang memotong barisan dalam mendapatkan vaksin Covid-19.

Katanya, bagi mereka yang ingin memaklumkan perkara tersebut boleh menghantar aduan di e-mel kj@mosti.gov.my.

“Saya terima banyak aduan berkaitan dengan perkara ini, saya juga telah memaklumkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkaitan perkara ini.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, bagi yang ingin memaklumkan kepada saya, boleh boleh hantar e-mel secara terus kepada saya dan akan disiasat," katanya.