Maritim Kelantan dijangka terima kompleks pentadbiran baharu

No Image Caption
A
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan akan menerima sebuah kompleks pentadbiran baharu yang akan dibina di Tok Bali dekat sini dengan peruntukan RM250 juta.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kompleks berkenaan dijangka akan dibina berhampiran muara Tok Bali yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 14 hektar.

“Ia akan dibina segera selepas mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri berhubung status tanah bagi pembinaan kompleks Maritim Kelantan ini,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, melawat tapak pembinaan kompleks dekat sini pada Ahad.

Nik Muhammad Zawawi berkata, mengikut perancangan kompleks Maritim Kelantan itu akan turut dilengkapi kemudahan penginapan atau kuarters untuk didiami kakitangan agensi terbabit.

“Maritim adalah barisan hadapan yang memikul amanah mengawal keselamatan perairan negara kita, maka seharusnya diberi keutamaan dalam aspek prasarana dan kelengkapan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: