PN Melaka sedia 5,000 kit makanan di bawah program FBPM

MOHD RAFIQ
MOHD RAFIQ
A
A
A

MELAKA - Sebanyak 5,000 kit makanan berjaya disediakan di bawah Program Food Bank Prihatin Melaka (FBPM) yang dilancarkan Perikatan Nasional (PN) Melaka pada akhir Januari lepas.

Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, sehingga kini, sebanyak 2,500 kit makanan bernilai RM50 setiap satu telah diagihkan kepada penduduk negeri itu yang hilang punca pendapatan ekoran penularan Covid-19.

"Baki 2,500 kit makanan akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan berdasarkan permohonan yang telah diterima sebelum ini.

"Bantuan kit makanan ini disumbangkan pelbagai pihak dalam usaha membantu meringankan beban rakyat yang terjejas sepanjang penularan Covid-19 dan sumbangan ini masih dibuka kepada mana-mana pihak yang ingin turut serta menghulurkan bantuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Zakat Korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Paya Rumput di sini pada Ahad.

Pada majlis itu, SSM menyampaikan zakat korporat berjumlah RM16,000 kepada 32 asnaf di Parlimen Tangga Batu dengan setiap penerima mendapat RM500 yang disampaikan Pengarah SSM Melaka, Azrin Mohd Ripin.

Mengulas sumbangan zakat itu, Mohd Rafiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, bantuan tersebut merupakan sebahagian komitmen kerajaan menerusi agensi berkaitan bagi membantu meringankan beban rakyat khususnya golongan asnaf yang terjejas susulan penularan Covid-19.

"Bantuan zakat korporat SSM ini merupakan pelengkap kepada bantuan sedia ada yang disalurkan kerajaan untuk rakyat antaranya Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Artikel Berkaitan:

"Kita di peringkat kerajaan negeri mengalu-alukan penglibatan lebih banyak agensi korporat, syarikat, anak syarikat kerajaan negeri atau Persekutuan untuk menyalurkan zakat dan ia merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat kepada rakyat," katanya. - Bernama