Teknologi 5G dan kedaulatan digital

A
A
A

KEHIDUPAN masyarakat bernegara kini semakin bergantung dan terikat kuat kepada teknologi perkomputeran dalam mengurus aktiviti seharian iaitu keadaan di mana kemunculan satu kuasa baru yang dikenali sebagai kuasa siber cyber power sedang dihadapi.

Kuasa siber adalah kebergantungan kita kepada infrastruktur teknologi maklumat dan juga rangkaian pengkomputeran dalam mentadbir urus sesebuah negara seperti sistem perbankan dan kewangan, perbekalan elektrik, telekomunikasi dan informasi, pengangkutan, bekalan air, perkhidmatan kecemasan dan perkhidmatan awam yang bakal menghadapi berbagai bentuk ancaman dengan munculnya teknologi 5G. Teknologi 5G bermaksud teknologi Generasi Kelima yang bakal dipelopori oleh China.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin dalam sebuah portal telah memberi amaran agar perlu berhati-hati dengan semua pihak dan teknologi 5G ini kerana ia bakal menjadi kaedah pengintipan siber dan pencerobohan digital negara.

Anglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin pula berkata ATM kini dalam proses mengkaji dan mengenal pasti sebarang bentuk ancaman terhadap keselamatan negara yang membabitkan teknologi 5G ini.

Ucapan di Forum Ekonomi Dunia di Davos turut memberi pandangan bahawa “Presiden China ialah musuh paling bahaya kepada masyarakat bebas kerana memimpin rejim pengawasan berteknologi tinggi ini”. Menurut beliau lagi “China bukan hanya rejim kuku besi tetapi ia juga yang paling kaya, paling kuat dan paling maju dari segi teknologi”.

5G ialah teknologi jaringan tanpa wayar Generasi Kelima. Kehidupan manusia pada era kini adalah berhubung antara satu sama lain yang dikenali sebagai Internet of Things (IoT) iaitu kesemua benda hendak dihubungkan dengan internet yang akan melibatkan penjanaan dan penyimpanan data yang amat banyak.

Kajian yang dilakukan oleh Mohammed H. Alsharif dan Rosdiadee Nordin dari UKM pada tahun 2016 berkaitan dengan Evolution Towards Fifth Generation (5G) Wireless Network: Current Trends and Challenges in the Deployment of Milimeter Wave, Massive MIMO, and Small Cells telah mendapati bahawa pada tahun 2020 dijangka sebanyak 35 Exabyte data akan dijanakan oleh populasi penduduk dunia berbanding dengan 11 Exabyte data pada tahun 2019.

Di sebabkan faktor-faktor ini, akan berlaku kesesakan data pada rangkaian sedia ada dan keadaan ini akan memaksa penciptaan teknik-teknik pemancar yang termaju kerana pada tahun 2020 teknologi Generasi Keempat (4G) sudah tidak mampu lagi untuk menampung kesesakan data dan berada pada tahap yang genting.

Artikel Berkaitan:

Menurut kajian ini, 5G ialah teknologi pancaran yang melibatkan penggunaan antena yang banyak di menara pemancar. Lagi banyak pemancar lagi tinggi kadar data dapat dihantar kepada pengguna. Lagi tinggi frekuensi digunakan maka lebih banyak jalur lebar akan diperolehi. Namun, terdapat beberapa isu dan cabaran 5G ini seperti beban penggunaan kuasa pada menara pemancar, rekabentuk peranti elektronik baru, ramalan liputan rangkaian dan semua perkara ini perlu difahami.

Sebagaimana yang kita ketahui, 5G ini didominasi oleh tiga kuasa besar sahaja iaitu Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah tetapi kini wujud pesaing baru dari benua Asia iaitu Korea (Samsung) dan China (Huawei) dan perkara ini menjadi kebimbangan kepada Barat.

Dalam konteks Malaysia pula, menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, “Putrajaya dan Cyberjaya akan menjadi wilayah ujian rangkaian 5G bagi tempoh setahun. Kedua-dua bandar berkenaan yang dibangunkan dengan jaringan ketersediaan fiber dikenal pasti sebagai lokasi paling ideal untuk menguji signal 5G”.

Memandangkan isu yang terdapat di atas, dalam carian saya di internet terdapat banyak laman web seluruh dunia seperti di United Kingdom, Kanada, Australia, New Zealand yang telah dibangunkan untuk menyekat penggunaan 5g dengan tag line “stop 5g”. Contoh-contoh laman web tersebut adalah seperti https://www.change.org, https://www.radiotiondangers.com, https://www.5gexposed.com/canada, https://www.5gspaceappeal.org, https://www.change.org, https://www.5g.org.nz) dan lain-lain lagi.

Selain dari faktor-faktor keselamatan, kajian saintifik perlu dijalankan untuk melihat kesan radiasi elektromagnetik (EMR) terhadap burung, mamalia (termasuk manusia) dan invertebrata seperti serangga dan labah-labah serta metabolisme tanaman kerana terdapat kajian yang menyatakan serangga menyerap gelombang 6GHz dan penggunan radio 60GHz dengan kuasa 50W/m2 akan meningkatkan suhu kulit sebanyak 0.8 darjah celcius. Sejauh manakah kebenaran hal ini perlu lah di buat kajian. Apakah 5G ini akan menyumbang kepada pemanasan global atau selamatkah digunakan masih menjadi tanda tanya

Kita tidak dapat menolak 5G ini kerana pada masa akan datang gaya hidup manusia termasuk rakyat Malaysia berubah apabila kita memerlukan smart cities, pemanduan kenderaan tanpa pemandu driverless vehicles, video streaming serta banyak lagi teknologi akan memerlukan 5G untuk direalisasikan.

Namun sebagai rakyat Malaysia, kita harus memastikan penggunaan teknologi ini adalah terpandu agar malapetaka dapat dielakkan. Janganlah kita mengenepikan panduan Ilahi dan mendabik dada, seolah-olah kepandaian manusia itu adalah mutlak.

* Nor Azaruddin Husni Nuruddin ialah Felo Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

* Ruangan ini dikelolakan oleh IKIM