Dua menteri Jordan langgar peraturan Covid-19 dipecat

Talhouni (kanan) dan Mobaideen didakwa melanggar peraturan kesihatan Covid-19. - Foto: Agensi
Talhouni (kanan) dan Mobaideen didakwa melanggar peraturan kesihatan Covid-19. - Foto: Agensi
A
A
A

AMMAN - Menteri Kehakiman, Bassam Talhouni dan Menteri Dalam Negeri Jordan, Samir Mobaideen dipecat pada Ahad kerana melanggar peraturan kesihatan untuk membendung pandemik Covid-19.

Istana diraja dalam satu kenyataan memaklumkan kedua-duanya diminta melepaskan jawatan masing-masing oleh Perdana Menteri, Bisher al-Khasawneh yang turut mendapat kelulusan segera Raja Abdullah II.

Mereka didakwa melanggar undang-undang darurat yang dikuatkuasakan kerajaan.

Laman berita Ammon mendedahkan Mobaideen dan Talhouni menghadiri acara makan malam bersama tujuh individu lain di sebuah restoran di Amman walaupun di bawah undang-undang itu jumlah maksimum yang dibenarkan adalah seramai enam orang.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam pentadbiran tempatan, Tawfiq Krishan akan dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri baharu bersama Setiausaha Negeri untuk Hal Ehwal Undang-undang, Ahmed Ziyadat dinamakan sebagai Menteri Kehakiman baharu.

Awal minggu lalu, Jordan kembali memperketatkan sekatan seperti dilaksanakan pada Mac tahun lalu susulan lonjakan kes jangkitan Covid-19. - AFP

Artikel Berkaitan: