SADA tambah jumlah lori jumbo hantar bekalan air

Muhammad Sanusi mendapatkan suntikan vaksin sempena Program Suntikan Vaksin Covid-19 Kedah di Wisma Darul Aman pada Ahad.
Muhammad Sanusi mendapatkan suntikan vaksin sempena Program Suntikan Vaksin Covid-19 Kedah di Wisma Darul Aman pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah mengambil tindakan jangka pendek dengan mengarahkan Syarikat Air Darul Aman (SADA) menambah bilangan lori jumbo untuk menghantar bekalan air kepada penduduk yang terjejas di Kuala Kedah.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Exco yang lalu kerana masalah air di Kuala Kedah semakin serius tahun ke tahun.

Katanya, air yang dihantar akan dipam ke tangki besar di kawasan perumahan sebelum disalurkan ke rumah penduduk.

“Selain itu, penghantaran dari rumah ke rumah pula akan berjalan seperti biasa. Bagi masalah paip bocor SADA akan cuba mencari lokasi paip berkenaan walaupun kita tahu ia agak sukar kerana tidak nampak,” katanya ketika ditemui selepas Program Suntikan Vaksin Covid-19 Kedah di Wisma Darul Aman, di sini pada Ahad.

Menurutnya, kerajaan negeri memberi jaminan masalah bekalan air di Kuala Kedah akan dapat diatasi sepenuhnya apabila Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang siap dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Masalah bekalan air yang berlaku di Kuala Kedah ini berlarutan sekian lama disebabkan infrastruktur bekalan itu yang tidak seiring dengan pembangunan yang pesat di kawasan itu.

“Kuala Kedah merupakan kawasan hujung sistem paip, pembangunan perumahan yang pesat sejak 10 tahun lalu tidak seiring dengan pembangunan infrastruktur bekalan air, jadi tekanan semakin rendah,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan rungutan kira-kira 20,000 penduduk di Kuala Kedah yang tertekan dengan gangguan bekalan air sejak 10 tahun lalu.

Artikel Berkaitan: