Mayat wanita, lelaki ditemukan dalam rumah

ANUAR
ANUAR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang wanita ditemui mati dengan kesan jerutan di leher manakala mayat seorang lelaki ditemui tergantung di sebuah rumah di Jalan Seri Sentosa di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kejadian pada 6 petang itu disedari oleh seorang lagi penyewa sebelum melaporkan kepada pemilik rumah.

"Pemilik rumah itu kemudian menghubungi polis. Siasatan di lokasi, polis menemui seorang lelaki warga Pakistan berusia 41 tahun tergantung di ruang tamu rumah berkenaan.

"Wanita warga tempatan berusia 37 tahun itu pula ditemui terbaring di dalam bilik tidur," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Anuar berkata, saksi kejadian yang juga rakan serumah mangsa mendakwa kali terakhir melihat dua mangsa itu adalah pada jam 7.30 pagi ketika hendak ke tempat kerja.

"Saksi mendakwa kedua-dua mangsa berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan baik," katanya.

Beliau berkata, keterangan saksi lain yang juga jiran mangsa menyatakan tidak mendengar sebarang kekecohan atau bunyi bising dari rumah berkenaan.

"Hasil siasatan awal pasukan forensik menyatakan terdapat kesan lebam sepanjang 15 sentimeter di leher mangsa wanita disyaki dijerut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anuar berkata, kedua-dua mayat itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

"Kita sedang menyiasat punca kejadian dan hubungan kedua-dua individu terbabit.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta tampil membantu siasatan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan