Pas serah semua penyata akaun bank

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas mengesahkan telah menyerahkan semua penyata akaun bank seperti diminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, penyata tersebut bermula dari tahun 2015 sehingga terkini.

"Pas telah kemukakan semua penyata sesuai permintaan SPRM. Ini selaras pendirian tegas parti apabila SPRM memulakan siasatan setelah ada pihak buat aduan kononnya Pas menerima sogokan RM90 juta daripada 1MDB.

ARTIKEL BERKAITAN: Dana RM90 juta: Hentikan spekulasi, siapa terlibat akan dipanggil

"Penyata akaun Pas Pusat yang diserahkan bermuka tahun 2015 iaitu sebelum tarikh artikel mengenai dakwaan sogokan RM90 juta tersebut (Ogos 2016) sehinggalah terkini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, parti itu yakin tindakan itu membolehkan SPRM menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional.

Katanya, Pas yakin SPRM akan mengumumkan hasil siasatan kerana ramai pihak berkepentingan yang menantikannya.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, pihaknya berharap selepas isu tersebut selesai semua pihak tidak membuang masa dengan isu yang tidak menguntungkan.

Artikel Berkaitan:

"Pas harap selepas selesai isu ini, semua pihak tidak lagi bazir masa dan pemikiran ke aras perkara yang tidak menguntungkan.

"Sebaliknya tumpukan perhatian dan usaha ke arah membangunkan negara dan rakyat," katanya.

Sebelum ini, Malaysiakini telah melaporkan sumber SPRM mengesan tiada sebarang transaksi daripada 1MDB disalurkan ke akaun bank rasmi Pas itu.

Siasatan dijalankan SPRM selepas menerima laporan daripada orang awam susulan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersetuju untuk membuat penyelesaian luar mahkamah berhubung kes saman fitnah ke atas Sarawak Report.

Saman berkenaan berhubung laporan portal Sarawak Report pada 2016 yang mendakwa Pas menerima dana RM90 juta daripada Umno sebagai balasan kepada sokongan yang diberikan kepada parti berkenaan.