Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor bakal dicabar


Zainul Rijal
Zainul Rijal
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Persekutuan dijangka akan mendengar cabaran keabsahan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, cabaran terhadap peruntukan tersebut dijangka akan didengar tidak lama lagi.

“Khamis lepas, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Selangor tidak berperlembagaan dan tidak sah. Tidak lama lagi, mahkamah yang sama akan mendengar cabaran keabsahan seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor pula.

“Kebenaran telahpun diperoleh oleh SIS (Sisters In islam) Forum Berhad dari Mahkamah Persekutuan menurut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan untuk mencabar peruntukan ini,” katanya melalui portal rasmi Pembela pada Ahad.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) berkata, tahun lalu, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada SIS Forum Berhad memulakan tindakan undang-undang.

Zainul berkata, ia diberikan bagi mencabar satu peruntukan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk mengkaji semula fatwa dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri itu.

“SIS Forum Berhad memohon kebenaran ini untuk mendapatkan satu deklarasi bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 sebagai tidak sah.

“Ia berikutan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan ini sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Seksyen 66A menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah boleh menggunakan bidang kuasanya untuk mendengar dan membenarkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh majlis atau jawatankuasa dalam menjalankan tugas di bawah Enakmen tersebut.

“Mahkamah Persekutuan telah menetapkan pada 11 Mac 2021 untuk mendengar saman minta arahan di dalam kes ini dan kemudiannya akan menetapkan tarikh pendengaran perbicaraan,” katanya.