Pengarah syarikat tak mengaku pecah amanah lebih RM700,000

Kompleks Mahkamah Sesyen dan Majistret Kemaman.
Kompleks Mahkamah Sesyen dan Majistret Kemaman.
A
A
A

KEMAMAN - Seorang pengarah di sebuah syarikat kejuruteraan berpangkat datuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas dua pertuduhan melakukan pecah amanah bernilai keseluruhan RM603,760 antara 2014 hingga 2015.

Tertuduh, Rosdi Abd Ghani, 54, dari Taman Geliga Permai Geliga Besar di sini bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh selaku ejen berkenaan yang diamanahkan untuk menjaga dan menguruskan akaun Maybank milik syarikat terbabit beralamat di kawasan Perindustrian Miel Teluk Kalong di sini telah melakukan pecah amanah jenayah iaitu dengan curangnya menyalahkan guna harta wang berjumlah RM200,000.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan antara 16 Oktober sehingga 30 Disember 2014.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh yang juga pemegang saham terbesar di syarikat berkenaan didakwa melakukan jenayah sama dengan menyalahgunakan harta tersebut iaitu wang tunai RM403,760 antara 21 Januari hingga 25 Jun 2015.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dan dengan sebat dan juga dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhanisah S H Sahul Hamid di hadapan Hakim Azman Mustapha dan tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Amirudin Mohamad daripada Mohd Mokhtar & Co.

Sejurus pengakuan tidak salah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 28 Mac depan untuk pengurusan kes dan membenarkan dia dibebaskan dengan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Artikel Berkaitan: