AMK Johor dakwa Steven Choong pengkhianat

Kenyataan berhubung AMK Johor pada Ahad berhubung tindakan Steven Choong yang menghantar SD kepada Perdana Menteri sebagai tanda sokongan kepada PN.
Kenyataan berhubung AMK Johor pada Ahad berhubung tindakan Steven Choong yang menghantar SD kepada Perdana Menteri sebagai tanda sokongan kepada PN.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor mendakwa tindakan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menyokong Perikatan Nasional ( PN) sebagai satu pengkhianatan.

Ketuanya, R Yuneswaran berkata, AMK kesal dan kecewa dengan tindakan Steven Choong itu yang dianggap membelakangkan amanat rakyat.

"Tindakan Steven Choong merupakan satu pengkhianatan terhadap mandat dan amanah rakyat yang memilih PKR sebagai pentadbir dan mewakili suara rakyat di Parlimen Tebrau.

"Steven Choong seharusnya sedar kemenangan beliau dengan jumlah undi 64,535 dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu merupakan manifestasi kebangkitan rakyat di Parlimen Tebrau yang mahukan perubahan dan memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai wadah perubahan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Dua ahli Parlimen pembangkang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Ahad menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan menyerahkan akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani mereka kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin dalam hantaran menerusi akaun Facebook rasmi beliau berkata, SD itu diserahkan oleh Ahli Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon.

Ia berlaku sehari selepas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Amanah Negara (Amanah) dari Johor dilaporkan menyertai PKR.

Mereka ialah ADUN Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim; ADUN Serom, Faizul Amri Adnan dan ADUN Mahkota, Mohd Said Jonid.

Artikel Berkaitan: