X

Kindly register in order to view this article
!

‘Selamat datang ke PN YB’

Muhyiddin (tengah) ketika menerima SD daripada Larry (kiri) dan Steven (kanan) pada Ahad. -Sumber foto: Facebook Muhyiddin Yassin
A
A

SHAH ALAM - Tindakan dua Ahli Parlimen Pembangkang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) melalui penyerahan akuan bersumpah (SD) mendapat sambutan baik daripada beberapa kepimpinan parti yang menyokong kerajaan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan memberi gambaran bahawa akan ada ramai lagi pihak yang menurut langkah kedua-dua ahli parlimen itu.

“Akhir Februari 2020 Pakatan Harapan tumbang, ulang tahun pertama ramai lagi akan sertai PN. Selamat datang ke PN YB (Yang Berhormat) Larry Sng Wei Shien (Julau) dan YB Steven Choong Shiau Yoon (Tebrau).

“Bersama kita berbakti kepada rakyat dan negara ketika waktu sukar yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) menerusi ciapan di Twitternya pada Ahad.

Persoalan mengenai status keahlian dua Ahli Parlimen PKR itu akhirnya terjawab selepas Muhyiddin memaklumkan beliau menerima penyerahan SD daripada Larry dan Stephen yang menyatakan sokongan mereka kepada PN.

Menerusi kenyataan di Facebooknya pada Ahad itu, Muhyiddin turut bersyukur dan menyatakan bahawa sokongan berkenaan akan mengukuhkan lagi kerajaan PN dalam usaha dan perancangannya mengurus pandemik Covid-19 serta memangkin kebangkitan semula ekonomi negara.

Sementara itu, turut bersetuju dengan Takiyuddin ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkata, perkembangan terbaru dalam politik negara itu merupakan satu berita baik kepada negara.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pekan itu mempunyai pendapat yang berbeza terhadap kesan yang dibawa akibat tindakan tersebut.

Najib melalui status di Facebook beliau berkata, sokongan yang diberikan oleh kedua-dua ahli Parlimen itu merupakan langkah yang dapat membantu untuk mengembalikan persidangan Parlimen yang digantung susulan daripada pengumuman darurat pada awal Januari lalu.

Katanya, beliau mengambil pendirian tersebut walaupun ramai pihak berpandangan bahawa tindakan sedemikian dilihat tidak kena pada waktunya.

“Ini sebenarnya berita baik bagi negara walaupun ramai yang mempersoalkan jika ia langkah tepat bagi kerajaan mengutip ahli-ahli Parlimen pada masa darurat.

“Sebab ia bakal meningkatkan peluang untuk Parlimen berlangsung semula supaya demokrasi negara dapat dipulihkan.

“Sebab itu, saya tak faham kenapa ramai yang kecewa atau marah dengan berita hari ini. Korang tak suka demokrasi ke?” soalnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!