'Itu strategi politik, bukan Amanah dah tak relevan'- Mahfuz

Mahfuz
Mahfuz
A
A
A

ALOR SETAR - Parti Amanah Negara (Amanah) menyangkal dakwaan parti itu tidak lagi relevan sehingga menyebabkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sebaliknya, Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan penghijrahan itu adalah sebahagian strategi politik untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau turut menyelar kenyataan sesetengah pihak yang melabel tiga ADUN berkenaan sebagai pengkhianat.

“Itu hanyalah strategi politik untuk pemimpin Amanah melangkah lebih jauh dalam politik. Tidak timbul isu khianat atau parti tidak relevan, Amanah tetap relevan sepanjang masa,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu, tiga ADUN Johor daripada Amanah iaitu ADUN Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim; ADUN Serom, Faizul Amri Adnan dan ADUN Mahkota, Mohd Said Jonid dilaporkan telah menyertai PKR.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, perkara itu tidak perlu disensasikan ekoran ia tidak mengubah bilangan kerusi dimiliki Pakatan Harapan (PH) mahupun memberi penambahan kerusi kepada Perikatan Nasional (PN).

“Komposisi kerusi kerajaan dan pembangkang di negeri itu tetap sama, ia sekadar perpindahan dalaman PH dan tak beri apa-apa implikasi politik, cuma ia mengurangkan kerusi DUN dimiliki Amanah dalam konteks semasa,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun, kerusi DUN berkenaan tetap kuota Amanah untuk dipertandingkan pada PRU15 akan datang kerana telah diperuntukkan kepada parti itu meletakkan calon.

Artikel Berkaitan:

“Ini turut beri peluang kepada Amanah untuk kenal pasti calon-calon baharu yang akan mengambil alih kerusi yang ditinggalkan ADUN berkenaan. Kami memiliki ramai pemimpin pelapis dari golongan profesional, intelektual dan aktivis yang mampu galas tanggungjawab itu,” katanya.

Mahfuz berkata, pendirian tiga ADUN berkenaan harus dihormati kerana mereka bakal mengorak karier politik yang lebih tinggi.

“Mereka bercita-cita besar untuk melangkah jauh dan tak mahu terperap sebagai ADUN. Saya gembira dengan perkembangan ini kerana individu yang sertai politik harus ada cita-cita sebegitu. Tak salah mereka berhasrat mewakili PKR di kerusi Parlimen kelak, ia keputusan terbaik untuk dilakukan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut yakin penghijrahan itu mendapat jaminan PKR yang seakan memberi lampu hijau untuk mereka dicalonkan di kerusi Parlimen, khususnya kerusi yang kosong setelah ditinggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mahfuz berkata, Amanah bersedia memainkan peranan sebagai kilang membekalkan calon kepada rakan PH bagi mengukuhkan gabungan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahfuz tegaskan ketiga-tiga parti iaitu Amanah, PKR dan DAP belum membincangkan pembahagian kerusi untuk ditandingi pada PRU15.

“Kita baru nak mulakan sesi rundingan termasuk kerusi yang ditinggalkan Bersatu dan kita akan nilai parti mana layak wakili kawasan tertentu,” katanya.

Katanya, sasaran Amanah adalah untuk meletakkan calon di 50 kerusi parlimen berbanding lebih 20 kerusi pada PRU lalu.

“PH juga belum putuskan lambang yang akan digunakan pada PRU15, walaupun PH sudah ada logonya sendiri yang digunakan pada PRK sebelum ini. Yang lebih penting adalah beri tumpuan kepada kerusi yang dikosongkan ADUN Amanah untuk diambil alih bakat baharu,” katanya.