Demam Babi Afrika: 22 babi dimusnahkan di Pitas

 Sebanyak 22 ekor babi di sebuah kampung di Pitas telah dimusnahkan dalam fasa pertama pelupusan haiwan peliharaan itu bagi menghentikan penularan wabak Demam Babi Afrika (ASF) di daerah itu.
Sebanyak 22 ekor babi di sebuah kampung di Pitas telah dimusnahkan dalam fasa pertama pelupusan haiwan peliharaan itu bagi menghentikan penularan wabak Demam Babi Afrika (ASF) di daerah itu.
A
A
A

LAHAD DATU - Sebanyak 22 ekor babi di sebuah kampung di Pitas telah dimusnahkan dalam fasa pertama pelupusan haiwan peliharaan itu bagi menghentikan penularan wabak Demam Babi Afrika (ASF) di daerah itu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, akan lebih banyak babi akan segera dilupuskan dalam masa terdekat.

"Dianggarkan terdapat sekitar 2,000 babi di Pitas dan sekitar 1,000 babi hutan dalam radius 50 kilometer. Semua haiwan ini mesti dihapuskan.

"Babi liar atau yang berkeliaran juga akan dipertimbangkan untuk dimusnahkan, jika perlu bagi memastikan ASF tidak menular ke daerah yang berdekatan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) telah melakukan kempen di 25 kampung untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai penyakit ASF.

"Ini merupakan sebahagian daripada 182 kampung di Pitas yang perlu diadakan kempen itu tetapi kempen melalui media sosial telah dimulakan lebih awal," katanya.

Jeffrey turut berkata, kementeriannya akan meningkatkan pengawasan di luar daerah Pitas dan setakat ini JPVS berjaya mendapatkan sebanyak 120 sampel daripada pelbagai daerah bagi mengesan kehadiran virus ASF di seluruh Sabah.

"Persampelan turut diperoleh dari rumah penyembelihan babi, pusat penjualan daging babi komersial dan vendor-vendor yang menjual babi salai (sinalau bakas) di seluruh negeri.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya virus ASF dikesan di luar Pitas, daerah tersebut juga akan diisytiharkan sebagai kawasan wabak ASF mengikut Enakmen Haiwan 2015, untuk memberi JPVS kuasa penuh untuk melakukan tindakan pengawalan penyakit melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

"Fokus sekarang ialah mengawal virus dari merebak di luar Pitas. Namun, jika ini berlaku, kami akan melakukan segala yang kami mampu untuk melindungi kawasan ladang babi utama agar pengeluaran daging babi Sabah tidak terjejas," katanya.

Jeffrey turut mengingatkan semua pengusaha babi komersial untuk meningkatkan kawalan biosekuriti di ladang dan melaporkan semua kematian kepada JPVS untuk tujuan penyiasatan.

Sementara itu, mengulas berhubung babi hutan mati di sebuah resort di Kinabatangan, beliau berkata, JPVS dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dengan menubuhkan sebuah pasukan untuk mengumpulkan sampel dan menyiasat punca kematian babi itu.

"Hasil ujian makmal dijangka diketahui pada Selasa. Saya ingin mengingatkan orang ramai sekali lagi bahawa penyakit ASF tiada ubat atau vaksin namun, virus ini bukan penyakit zoonotic, maksudnya ia tidak berjangkit ke manusia," katanya.