X

Kindly register in order to view this article
!

Proses pembelajaran dalam talian akan ditambah baik

Mansor (duduk kiri) bersama pimpinan PN selepas mesyuarat yang diadakan pada Ahad.
A
A

TASEK GELUGOR - Kaedah pembelajaran di semua institusi pengajian tinggi (IPT) akan ditambah baik bagi memastikan proses pengajian secara dalam talian pelajar universiti seiring perkembangan semasa.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman, berkata pihaknya kini dalam usaha memperkukuhkan pembelajaran secara dalam talian agar matlamatnya tercapai.

"Bermula esok, enam kategori akan kembali semula ke IPT di seluruh negara. Kementerian Pengajian Tinggi sentiasa prihatin dalam memastikan keperluan program pengajian pelajar berjalan sempurna walaupun berhadapan cabaran pandemik Covid-19.

"Sejak tahun lepas pembelajaran dijalankan secara dalam talian dan ia merupakan situasi baharu, jadi IPT perlu memperkukuh kaedah serta membuat penambahbaikan bagi meningkatkan kaedah pembelajarannya," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mansor berkata, pembelajaran secara hibrid dalam kampus boleh dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) terutamanya aspek keselamatan serta kebajikan pelajar.

Katanya, pada masa sama pelajar yang tidak termasuk dalam kategori pelajar berkeperluan pula akan meneruskan pembelajaran secara dalam talian.

"Semua IPT juga sudah bersedia dengan SOP yang ketat untuk menerima pelajar yang kembali ke kampus bermula esok.

“Pembelajaran secara hibrid akan dijalankan secara fizikal bersama pengajian dalam talian, perkara itu sudah dipersetujui Majlis Keselamatan Negara (MKN) berdasarkan beberapa sesi libat urus, kajian dan tinjauan yang dijalankan dengan pihak berkepentingan," katanya.

Sebelum ini KPT memaklumkan kategori pertama adalah pelajar program pengajian peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Pasca Siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas;

Kategori kedua membabitkan pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian manakala ketiga pula melihatkan pelajar asasi atau setara dan diploma yang sedia ada di kampus boleh meneruskan pembelajaran secara hibrid.

Bagi kategori keempat, semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom.kategori kelima, pelajar Berkeperluan Khas (OKU); dan keenam pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysia University English Test (MUET), antarabangsa dan badan profesional.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!