Amanah tak bimbang wakil rakyat Bersatu makin ramai

Mohamad Sabu
A
A

KOTA KINABALU - Pertambahan kerusi dimiliki Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan kemasukan bekas pemimpin UMNO tidak mendatangkan kebimbangan rakan komponennya dalam PH.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu, dipetik BHOnline berkata, apa yang penting adalah untuk mengukuhkan PH khususnya sokongan Melayu di Semenanjung.

“Kami tidak risau, yang penting kita dalam PH. Kita nak kuatkan PH khasnya sokongan Melayu di Semenanjung. Saya setakat ini tak dengar Pengerusi PH (Tun Dr Mahathir Mohamad) janjikan apa-apa jawatan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bicara Presiden Amanah di sini, malam ini.

Mohamad mengulas mengenai enam bekas Ahli Parlimen UMNO yang menyertai Bersatu hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'UMNO putus hubungan dengan 6 bekas Ahli Parlimen'

Mereka ialah Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Shabudin Yahya (Tasek Gelugor), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang menyertai Bersatu Disember lalu turut menerima kad keahlian bersama enam Ahli Parlimen berkenaan daripada Dr Mahathir merangkap Pengerusi Bersatu.

Penyertaan mereka menjadikan Bersatu kini mempunyai 22 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohamad atau mesra disapa Mat Sabu turut berharap ada bekas Ahli Parlimen atau pemimpin UMNO di Sabah menyertai Amanah.