MOTAC harap benar semula rentas negeri

Nancy Shukri
Nancy Shukri
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) berharap agar satu pendekatan baharu dapat diperkenalkan bagi membenarkan semula gelembung perjalanan domestik dan pembukaan rentas negeri.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan kelangsungan penggiat industri pelancongan tempatan.

Menurutnya, ini kerana industri pelancongan merupakan sektor yang berkait rapat dengan pergerakan manusia dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

“Bila mana tiada pergerakan bermakna tiadalah pelancongan dan tiadalah jua aktiviti ekonomi, yang seterusnya bermakna, tiada pekerjaan dan tiada pendapatan bagi mereka yang bekerja dalam rantaian industri (pelancongan) ini.

“Oleh itu, saya berharap untuk menemui titik pertemuan yang boleh menyeimbangkan kesejahteraan kesihatan dan ekonomi rakyat.

“Justeru, saya menaruh harapan dan yakin bahawa pasti ada pendekatan baharu untuk mengawal penyebaran Covid-19 selain daripada meneruskan halangan rentas negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Jumaat, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan akan mempertimbangkan kelonggaran merentas sempadan daerah dan negeri jika 70 hingga 80 peratus rakyat sudah diberi vaksin Covid-19.

Dalam kenyataan berasingan, Dr Noor Hisham berkata, segala pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan tindakan kesihatan awam wajar diteruskan meskipun imunisasi fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sudah bermula pada 24 Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Nancy berkata, beliau menghormati kepakaran dan pandangan Dr Noor Hisham dalam mengawal penularan wabak Covid-19 di dalam negara.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata, beliau khuatir bahawa kenyataan Dr Noor Hisham itu boleh memberi impak lebih buruk kepada industri pelancongan tempatan yang sudah sedia terkesan dan terjejas teruk.

“Saya berbicara bukan sahaja tentang impak kepada ekonomi negara, tetapi juga memikirkan tentang periuk nasi dan kelangsungan hidup penggiat industri tempatan,” katanya.

Tambah Nancy, kementeriannya sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak untuk mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu tersebut.

Dalam hantaran di Facebooknya pada Sabtu, Dr Noor Hisham berkata, keputusan untuk membenarkan pergerakan merentas negeri atau daerah bergantung kepada penilaian beberapa faktor dan ia memerlukan keputusan bersama pihak kerajaan.

Katanya, antara indikator utama yang digunakan dalam penilaian risiko adalah situasi semasa kes harian Covid-19, trend dan nilai semasa R-Naught (Rt), trend dan situasi semasa kematian akibat wabak, situasi penggunaan katil untuk kes Covid-19 (di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19, hospital, katil unit rawatan rapi serta kes yang memerlukan bantuan pernafasan).

Tambah beliau, indikator lain yang turut dinilai ialah situasi semasa petugas kesihatan yang dijangkiti wabak dan aktiviti ujian makmal serta survelan Covid-19.