‘Walid pesan jaga ibu, adik’

USTAZ YO KEMAMAN
USTAZ YO KEMAMAN
A
A
A
KEMAMAN - “Walid ada pesan pada saya empat hari lepas agar saya jaga ibu dan dua adik,” kata anak sulung pendakwah terkenal kelahiran Kemaman, Mohd Khirudzaman Omar, 39, yang meninggal dunia kira-kira jam 6.30 pagi tadi akibat penyakit lelah.

Muhammad Nasrullah, 13, bagaimanapun tidak menyangka ia menjadi pesanan terakhir bapanya yang lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Yo Kemaman.

Menurutnya, sehari selepas itu, mereka sekeluarga termasuk bapanya demam dan keadaan kesihatan Allahyarham semakin teruk kelmarin.

“Pagi tadi walid diserang lelah teruk, walid juga batuk beberapa kali sebelum tak sedarkan diri dan meninggal dunia.

“Walid memang ada penyakit lelah dah lama jadi sebab demam keadaan walid makin serius,” katanya.

Namun, Muhammad Nasrullah bersyukur kerana demam yang dialami dirinya, ibunya, Umi Shakirah Badri, 38, dan dua adiknya, Muhammad Naufal, 10, dan Muhammad Nazran Faris, 7, beransur pulih hari ini membolehkan mereka mengiringi perjalanan terakhir bapanya sebelum disemadikan.

Allahyarham Ustaz Yo Kemaman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kemaman di sini, pada jam 3.30 petang, tadi.


Jenazah Allahyarham diusung keluar dari Surau Al-Hadeed Taman Perwaja, Kemaman selepas disembahyangkan lebih 500 jemaah.
Jenazah Allahyarham diusung keluar dari Surau Al-Hadeed Taman Perwaja, Kemaman selepas disembahyangkan lebih 500 jemaah.



Lebih 200 ahli keluarga, saudara mara, sahabat handai dan orang ramai hadir ke tanah perkuburan bagi memberi penghormatan terakhir.

Suasana bertukar sayu apabila hujan renyai seketika ketika doa dibacakan sebaik Allahyarham selamat disemadikan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, jenazah disembahyangkan lebih 500 jemaah di Surau Al-Hadeed Taman Perwaja, di sini.

Allahyarham Ustaz Yo Kemaman aktif menyampaikan dakwah menerusi kuliah agama di masjid dan surau di seluruh negara sejak 10 tahun lalu.

Hajat pindah ke madrasah tidak kesampaian.

Sementara itu, ibu Allahyarham, Nafisah Jusoh, 64, berkata, dia berada di sisi anaknya ketika arwah menghembuskan nafas terakhir.

Katanya, Allahyarham anaknya itu sedang dalam proses menyiapkan madrasah bersebelahan rumahnya di Kampung Paya Berenjut demi memudahkannya berdakwah.

“Kalau siap madrasah itu, arwah rancang nak pindah dan tinggal di situ untuk mudahkan dia berdakwah sebab sekarang dia sekeluarga tinggal di rumah sewa. Makcik juga rancang tinggal bersamanya sekeluarga.

“Tapi apakan daya ALLAH SWT lebih sayangkan dia dan arwah tak sempat lihat madrasah itu siap. Madrasah itu sekarang baru siap separuh,” katanya.

Menurutnya, madrasah itu dibina sejak beberapa bulan lalu menggunakan kutipan derma orang ramai yang dikumpulkan Allahyarham.

Sehubungan itu, dia berharap madrasah itu dapat disiapkan agar derma yang diberikan orang ramai sebelum ini dapat dimanfaatkan selain ia juga menjadi penyambung perjalanan dakwah anaknya.


Muhammad Nasrullah (kiri) bersama adiknya, Muhammad Naufal (kanan) dan nenek mereka, Nafisah mengiringi perjalanan akhir Allahyarham Ustaz Yo Kemaman yang selamat disemadikan kira-kira jam 3.30 petang semalam.
Muhammad Nasrullah (kiri) bersama adiknya, Muhammad Naufal (kanan) dan nenek mereka, Nafisah mengiringi perjalanan akhir Allahyarham Ustaz Yo Kemaman yang selamat disemadikan kira-kira jam 3.30 petang semalam.

Meninggal sama tarikh dengan Allahyarham Tok Guru

Dalam pada itu, ibu saudara Allahyarham, Lijah Jusoh, 65, berkata, pemergian Mohd Khirudzaman pada tarikh yang sama Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia memberi pengertian besar buat keluarga.

“Kami sedih tapi pada masa sama turut terharu kerana perginya pada hari Isnin yang mulia. Tarikh arwah ‘dijemput’ sama dengan tarikh perginya alim ulama, Alahyarham Tok Guru Nik Aziz.

“Kami juga bangga dengan pengorbanan arwah dalam berdakwah. Arwah sampaikan kuliah setiap hari di merata-rata tempat terutama di sekitar Terengganu dan Pahang,” katanya.

Berita sedih pemergian Allahyarham turut tular di media sosial apabila ramai netizen berkongsi mengenainya dan mengakui kehilangan pendakwah muda yang banyak berjasa kepada agama.